Dr Marina. FOTO Facebook  Prof Datin Dr Marina Mat Baki
Dr Marina. FOTO Facebook Prof Datin Dr Marina Mat Baki
Suraya Roslan


Kuala Lumpur: Sambutan Hari Suara Sedunia akan diadakan secara besar-besaran dengan memberi tumpuan kepada isu kesihatan dan keselamatan peti suara terutamanya kepada golongan profesional yang menggunakan suara untuk kerjaya seperti artis, pendidik dan penceramah.

Program bertemakan 'Suara Nadi Kehidupan' itu bakal dirasmikan Menteri Sumber Manusia V Sivakumar di Dewan Tan Sri Lee Lam Thye, Institut Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Negara (NIOSH), Bandar Baru Bangi pada 20 Mei ini.

Ia dianjurkan bersama Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (Aswara) dan NIOSH sempena 'Hari Suara Sedunia' yang disambut pada 16 April setiap tahun.

Pengerusi Jawatankuasa Penganjur Prof Datin Dr Marina Mat Baki berkata, fokus utama program itu untuk memberi kesedaran kepada orang ramai mengenai penjagaan peti suara serta faktor yang boleh menyebabkan kerosakan dan memberi risiko berlakunya kanser pada organ itu.

Menurutnya, pakar yang akan turut serta dalam program itu akan berkongsi maklumat mengenai pelbagai jenis kerosakan peti suara serta kaedah rawatan yang bersesuaian.

"Melalui pelbagai aktiviti yang dijalankan, kita berharap ia dapat menimbulkan kesedaran mengenai masalah berkaitan peti suara yang seharusnya menjadi satu aspek keselamatan pekerjaan yang perlu dititikberatkan.

"Peti suara amat penting untuk percakapan dan pernafasan yang juga nadi kehidupan. Oleh itu, penyebaran maklumat secara berkesan dan kreatif seperti ini amat penting supaya orang ramai faham mengenai langkah penjagaan peti suara yang berkesan," kata dalam kenyataan hari ini.

Beliau yang juga Timbalan Dekan (Hal Ehwal Jaringan, Industri dan Masyarakat), Fakulti Perubatan UKM berkata, antara aktiviti yang dirancang pada hari itu adalah saringan kesihatan peti suara dan endoskopi, pameran serta bengkel berkaitan kesihatan dan keselamatan peti suara.

"Endoskopi peti suara ini membolehkan strukur, pergerakan dan getaran pita suara dapat dilihat untuk mengenalpasti kesihatannya. "Bengkel pula diadakan dalan bentuk kumpulan kecil untuk memberi latihan warm up suara dan menyampaikan pengetahuan mengenai vocal hygiene yang amat penting untuk mencegah kecederaan pita suara sebelum lontaran suara dilakukan untuk nyanyian, ceramah, pengajaran dalam kelas dan sebagainya.

"Lebih menarik, penyanyi yang juga jurulatih vokal terkenal tanah air Datuk Syafinaz Selamat akan turut mengendalikan forum khas bertajuk 'Suara untuk Bekerja dan Bekerja untuk Suara'," katanya.

Dr Marina berkata, selain itu, NIOSH akan turut bekerjasama dengan UKM dan ASWARA untuk menjalankan penyelidikan, menyediakan khidmat rundingan dan membangunkan modul latihan yang turut mengambil kira kesihatan dan keselamatan peti suara.

"Sebagai agensi yang diberi tanggungjawab untuk meningkatkan tahap keselamatan dan kesihatan pekerjaan (KKP) di Malaysia, NIOSH sentiasa menyokong usaha kerajaan dan pihak lain untuk menyediakan penyelesaian komprehensif untuk semua masalah keselamatan dan kesihatan pekerja.

"Kami berterima kasih kepada NIOSH kerana sudi berkolaborasi, berkongsi pengalaman dan kemudahan untuk membantu meningkatkan aspek KKP dalam industri kreatif termasuk dalam kalangan profesional vokal," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 10 Mei 2023 @ 4:30 PM