Khairulmizan Yahya

Kuantan: Segelintir mangsa penipuan atau scammer mengakui mempunyai kesedaran mengenai jenayah itu, tetapi mendakwa bagai dipukau sehingga terjerat dengan helah sindiket berkenaan.

Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf berkata, pihaknya yang menjalankan siasatan mendapati mangsa bukan dipukau, sebaliknya ia adalah mainan psikologi ke atas minda oleh sindiket terbabit.

"Banyak maklum balas yang kita terima bahawa mereka (mangsa) tahu berkenaan penipuan atau 'scam' tetapi mereka kata seolah-olah telah dipukau.

"Saya nak bagi tahu, bukan pukau sebenarnya tetapi apabila kita melayan, dia akan ada kesan psikologikal sehingga mangsa terdorong melakukan apa sahaja yang diminta," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas Perhimpunan Khas sempena pertukaran Ketua Polis Pahang di Ibu Pejabat Polis Kontijen (IPK) Pahang, di sini, hari ini.

Ramli turut berkongsi mengenai satu kes penipuan membabitkan seorang wanita yang nekad tidak mahu berkongsi maklumat dengan polis berikutan sudah membuat perjanjian dengan sindiket berkenaan.

"Wanita terbabit sampai menangis tidak mahu berkongsi kononnya dia tidak dapat membuka rahsia berikutan sudah berjanji dengan pihak terbabit.

"Mangsa mendakwa perkara itu terlalu peribadi dan dia juga sudah berjanji tidak akan membocorkan rahsia seolah-olah ada satu akad antara dia dengan pihak berkenaan.

"Mangsa itu juga menyerahkan segala maklumat peribadinya selain perlu melaporkan pergerakan kepada pihak berkenaan setiap dua jam sekali. Sampai begitu sekali kesan psikologi kepada dia," ujarnya.

Katanya, pihak polis akan terus memberi kesedaran kepada masyarakat berikutan kes jenayah penipuan menyebabkan kerugian besar sehingga berbilion ringgit di seluruh negara.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 9 Mei 2023 @ 3:24 PM
RAMLI ketika sidang media pada Perhimpunan Khas Sempena Pertukaran Ketua Polis Pahang di Ibu pejabat Polis Kotinjen (IPK) Pahang. FOTO Farizul Hafiz Awang
RAMLI ketika sidang media pada Perhimpunan Khas Sempena Pertukaran Ketua Polis Pahang di Ibu pejabat Polis Kotinjen (IPK) Pahang. FOTO Farizul Hafiz Awang