GAMBAR hiasan. FOTO Reuters.
GAMBAR hiasan. FOTO Reuters.
Noor Atiqah Sulaiman


Kuala Lumpur: Kementerian Kesihatan sedang membuat semakan semula dan mengemaskini garis panduan negara ini berkaitan transisi pengurusan jangka masa panjang pandemik Covid-19.

Menterinya, Dr Zaliha Mustafa berkata, semakan berkenaan akan merujuk kepada kenyataan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).

Dalam masa yang sama, Dr Zaliha berkata, berdasarkan penilaian situasi semasa Covid-19 di negara ini, KKM turut melanjutkan pengisytiharan kawasan tempatan jangkitan bagi tempoh 1 Januari hingga 30 Jun ini.

"Pengisytiharan Malaysia sebagai kawasan tempatan jangkitan adalah perlu bagi memenuhi keperluan isolasi atau pengasingan kes Covid-19 di mana-mana tempat selain hospital dan keperluan majikan menanggung kos rawatan dan pengujian Covid-19 yang diarahkan oleh pegawai diberi kuasa untuk dijalankan kepada pekerjanya.

"Dijangkakan penilaian risiko situasi jangkitan Covid-19 dalam Malaysia akan dilaksanakan pada pertengahan Jun ini bagi menyemak semula pengisytiharan kawasan tempatan jangkitan untuk menentukan halatuju seterusnya.

"Justeru, KKM akan meneruskan langkah kawalan dan pencegahan Covid- 19 berdasarkan protokol sedia ada.

"KKM sentiasa komited dan akan terus memantau situasi Covid-19 di dalam dan luar negara selain memastikan kesiapsiagaan perkhidmatan kesihatan berada dalam keadaan yang optimum bagi memastikan kesihatan dan kesejahteraan penduduk Malaysia," katanya dalam kenyataan hari ini.

Kelmarin, Ketua Pengarah WHO, Tedros Adhanom Ghebreyesus mengumumkan Covid-19 kini tidak lagi dikategorikan sebagai kecemasan kesihatan global.

Ia selepas Tedros mendapat saranan untuk menamatkan status Kecemasan Kesihatan Awam Keprihatinan Antarabangsa (PHEIC) dan bersetuju untuk menerima nasihat itu.

Dalam pada itu, mengulas lanjut mengenai penularan Covid-19 di negara ini, Dr Zaliha berkata, sehingga Minggu Epidemiologi ke-18 (ME 18/2023) iaitu dari 30 April hingga 6 Mei lalu, sebanyak 7,596 kes Covid-19 dilaporkan.

"Peratusan kes Covid-19 yang dilaporkan pada ME 18/2023 meningkat sebanyak 53.1 peratus, berbanding 4,963 kes yang dilaporkan pada minggu sebelumnya.

"Kadar kemasukan pesakit Covid-19 (termasuk pesakit yang disyaki Covid-19) ke fasiliti kesihatan awam juga menunjukkan peningkatan dari 5.8 kepada 7.2 bagi setiap 100,000 penduduk pada Minggu Epidemiologi 18/2023 berbanding ME 17/2023.

"Bagaimanapun, keadaan jangkitan Covid-19 di Malaysia masih terkawal dan perkhidmatan kesihatan di hospital tidak terjejas," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 8 Mei 2023 @ 11:54 AM