Armin Baniaz Pahamin
Armin Baniaz Pahamin
Sri Ayu Kartika Amri

Kuala Lumpur: Negara bakal berisiko dengan penguncupan ekonomi berikutan kenaikan Kadar Dasar Semalaman (OPR) sekali gus berupaya membawa kepada kegawatan ekonomi.

Presiden Gerakan Ekonomi Malaysia Armin Baniaz Pahamin berkata, apabila pertumbuhan ekonomi menguncup akibat daripada kurangnya aliran duit ke dalam pasaran, ia akan menjurus kepada kegawatan ekonomi.

Menurutnya, berikutan itu orang ramai perlu bersedia dengan menjadual semula pembayaran pinjaman dan membatalkan kad kredit untuk menjaga rekod kewangan demi masa hadapan.

Beliau berkata, peningkatan OPR akan mengurangkan aliran tunai dalam pasaran dan mendorong kepada simpanan di mana kadar pinjaman rumah, kad kredit, overdraf dan pinjaman kereta baru juga menjadi lebih mahal dan ini akan membendung perbelanjaan.

"Walaupun langkah Bank Negara Makaysia (BNM) menaikkan kadar OPR untuk memulihkan kadar inflasi dan mengukuhkan nilai mata wang Ringgit tetapi ia bukanlah tanpa kesan kepada rakyat.

"Masalah utama yang dihadapi oleh masyarakat ialah masalah kenaikan harga barang.

"Rata-rata harga barangan semuanya naik dan antara faktor mendorong kenaikan harga barang ialah nilai mata wang Ringgit yang semakin lemah dan menyebabkan barangan import menjadi mahal.

"Kita terlalu bergantung kepada import sama ada untuk makanan atau rantaian bekalan. Apabila OPR dinaikkan, jumlah simpanan negara akan meningkat dan mengukuhkan nilai mata wang kita dan ini akan menstabilkan harga barangan import.

"Sebab itu, langkah ini (menaikkan OPR) bukan langkah populis kerana tahun lalu sahaja, BNM menaikkan kadar OPR sebanyak empat kali.

"Sebagai antara negara dengan hutang isi rumah yang tertinggi di Asia, sebahagian besar dari rakyat akan terkesan dengan kenaikan kadar OPR.

"Ramai individu dan isi rumah dijangka, malah sudah pun terjejas dalam menguruskan perbelanjaan membabitkan makanan, utiliti dan pendidikan anak-anak.

"Adakah sekarang ini masa yang sesuai menaikkan kadar OPR sedangkan rakyat dalam kesusahan dan perniagaan masih belum pulih, jawapan mudah ialah kita tiada pilihan," katanya kepada Harian Metro.

Armin berkata, Malaysia di pengaruhi kuat oleh dasar monetari Amerika Syarikat (AS) dan AS mempertingkatkan kadar OPR sebanyak 10 kali semenjak Mac tahun lalu kepada 5.0 peratus dan ini menjejaskan ekonomi dunia apabila mata wang negara membangun mengalir kembali ke AS menjadikan mata wang asing semakin lemah.

Beliau berkata, negara tiada pilihan melainkan kerajaan berani mengambil pendekatan drastik seperti langkah tambatan Ringgit (Fix-Currency) yang di perkenalkan oleh Perdana Menteri keempat, Tun Dr Mahathir ketika krisis kewangan 1997.

"Pentadbiran pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim perlu memandu ekonomi dengan memperkenalkan dasar baru dan drastik untuk melonjak ekonomi negara keluar dari krisis ekonomi.

"Dasar baru perlu diperkenalkan untuk membangun industri tempatan melalui eksport supaya dapat menyeimbang transaksi perdagangan ekonomi," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 5 Mei 2023 @ 4:10 PM