TAKIYUDDIN. FOTO Arkib NSTP
TAKIYUDDIN. FOTO Arkib NSTP
Noor Atiqah Sulaiman


Kuala Lumpur: Setiausaha Agung Pas Datuk Seri Takiyuddin Hassan menafikan beliau ada mengeluarkan kenyataan media berkaitan sokongan terhadap presiden parti itu untuk menjadi Perdana Menteri.

Takiyuddin berkata, kenyataan media yang bertajuk 'Sokongan Terhadap YB Tan Sri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang Ahli Parlimen Marang Sebagai Perdana Menteri Malaysia' adalah palsu dan tiada kaitan dengan mana-mana pihak.

"Kenyataan media yang sedang tular masa ini adalah palsu dan tiada kaitan dengan mana-mana pihak disebutkan," katanya menerusi Facebook.

Sebelum ini, satu kenyataan media yang didakwa dikeluarkan oleh Takiyuddin tular di media sosial, antara lain memanjatkan kesyukuran kerana Pas akan diterima mengadap Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah esok.

Menurut kenyataan itu, ia didakwa bagi mempersembahkan surat akuan bersumpah daripada 115 Ahli Parlimen untuk memberi sokongan kepada Abdul Hadi sebagai Perdana Menteri.

"Pas yakin dengan memiliki kepimpinan serta ilmu yang tinggi beliau mampu memimpin Malaysia menjadi sebuah negara bertamadun dan disegani tanpa mengenepikan nilai-nilai Islam.

"Pas meminta rakyat untuk terus memberi sokongan terhadap kerajaan pimpinan ulama yang bakal dibina supaya tidak lagi berlaku sebarang pergolakan politik dan perebutan kuasa seperti yang sering ditimbulkan oleh Pakatan Harapan," kata kenyataan yang tular.

/end

From: Atiqah

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 4 Mei 2023 @ 7:30 PM