ZAMBRY Abdul Kadir. FOTO arkib NSTP
ZAMBRY Abdul Kadir. FOTO arkib NSTP
BERNAMA

Putrajaya: Menteri Luar Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir akan mengadakan lawatan kerja sulungnya ke New Zealand dari 2 hingga 4 Mei, atas undangan rakan sejawatan Nanaia Mahuta.

New Zealand merupakan negara Pasifik yang pertama dilawati oleh Zambry sejak dilantik menyandang jawatan itu pada Dis 2022.

Semasa lawatan itu, beliau dijadual bertemu Mahuta, kedua-dua menteri akan membincangkan status kerjasama dan hubungan dua hala sedia ada, di samping bertukar-tukar pandangan mengenai isu serantau dan antarabangsa yang berkepentingan bersama, menurut Kementerian Luar Negeri (KLN) dalam satu kenyataan hari ini.

Kedua-dua menteri juga dijadual menyaksikan majlis menandatangani dokumen Rakan Kerjasama Startegik Malaysia – New Zealand oleh pegawai kanan KLN dan Kementerian Luar Negeri dan Perdagangan (MFAT) New Zealand.

Perkongsian strategik ini dijangka meningkatkan kerjasama dua hala sedia ada ke peringkat yang lebih tinggi

"Lawatan berkenaan juga mencerminkan kepentingan hubungan Malaysia-New Zealand yang telah lama terjalin," menurut kenyataan itu.

Zambry juga akan mengambil peluang untuk bertemu dengan diaspora Malaysia di New Zealand, termasuk pelajar dan komuniti perniagaan.

New Zealand kekal sebagai rakan dagang kedua terbesar Malaysia di rantau Pasifik.

Jumlah dagangan pada 2022 bernilai RM11.3 bilion (AS$2.56 bilion), meningkat 49.6 peratus berbanding RM7.55 bilion (AS$1.82 bilion) pada 2021.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 2 Mei 2023 @ 5:24 PM