Putrajaya: Minggu Latihan Kebangsaan (NTW) 2023 akan berlangsung pada 22 Mei hingga 28 Mei depan, dengan objektif bagi meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai kepentingan latihan serta memupuk budaya pembelajaran sepanjang hayat.
Menteri Sumber Manusia V.Sivakumar berkata NTW merupakan satu inisiatif inovatif yang menghimpunkan organisasi dan individu dari pelbagai latar belakang dan industri untuk merasai peluang pembelajaran dan pembangunan yang meluas.
Diterajui Human Resource Development Corp (HRDC), NTW itu akan dilaksanakan oleh Kementerian Sumber Manusia (KSM), Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT), Kementerian Pendidikan, Kementerian Kesihatan, Kementerian Belia dan Sukan, dengan kerjasama swasta dan organisasi yang tidak berasaskan keuntungan.
Sivakumar berkata KSM menjangkakan NTW 2023 menarik kehadiran lebih 5,000 jurulatih dan kolaborator yang akan menyampaikan lebih 5,000 kursus latihan, melatih sehingga 125,000 peserta serta merekod lebih 500,000 jam dengan anggaran kos latihan bernilai lebih RM250 juta.
"NTW akan menjadi pemangkin utama untuk memupuk semangat pembelajaran sepanjang hayat sebagai budaya masyarakat," katanya pada majlis pra-pelancaran NTW 2023 di sini hari ini. Turut hadir Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.
Mohamed Khaled berkata sepanjang tempoh pelaksanaan NWT, politeknik dan kolej komuniti di bawah KPT di seluruh negara akan menawarkan pelbagai kursus dan latihan jangka pendek secara percuma kepada semua yang berminat.