Zatul Iffah Zolkiply dan Baharom Bakar


Kuala Nerus: Kerajaan optimis untuk menyelesaikan masalah miskin tegar membabitkan 130,000 ketua keluarga pada tahun ini.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, seluruh kabinet dan jentera kerajaan diarahkan menyelesaikan masalah berkenaan.

"Saya bagi keutamaan ialah membasmi kemiskinan, ada sekarang ini 130,000 keluarga miskin tegar yang fakir.

"Saya sudah arahkan seluruh kabinet seluruh jentera kerajaan, Tan Sri KSN (Ketua Setiausaha Negara) Mohd Zuki Ali ada tanpa tolak ansur dan berkecuali mesti dan wajib selesaikan masalah kemiskinan tegar tahun ini juga.

"Untuk tujuan pembasmian kemiskinan bagi manfaat rakyat Terengganu, saya buat perkiraan menyeluruh iaitu lebih RM200 juta diperuntukkan untuk negeri termasuk Terengganu dan ini selain daripada langkah-langkah lain diambil," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Berbuka Puasa Malaysia Madani Perdana Menteri Bersama Rakyat Terengganu di Universiti Malaysia Terengganu (UMT) di sini hari ini.

Turut hadir, Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar dan Mohd Zuki.

Selain itu, Anwar turut menyaksikan penyampaian zakat agensi kepada Tabung Zakat Pelajar UMT dan penyampaian Geran Penyelidikan Kelestarian Pendapatan Universiti Awam melalui Zakat, Wakaf dan Endowment berjumlah RM100,000.

Beliau turut menyampaikan dermasiswa zakat kepada asnaf pelajar UMT berjumlah RM200,000 dan sebanyak 100 bakul Rahmah kepada komuniti.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 15 April 2023 @ 10:15 PM
ANWAR (dua kanan) diiringi Samsuri (kanan)  beramah mesra selepas menyampaikan dermasiswa zakat kepada pelajar Asnaf pada majlis Berbuka Puasa Malaysia Madani Perdana Menteri bersama Rakyat Terengganu di Universiti Malaysia Terengganu (UMT). FOTO GHAZALI KORI
ANWAR (dua kanan) diiringi Samsuri (kanan) beramah mesra selepas menyampaikan dermasiswa zakat kepada pelajar Asnaf pada majlis Berbuka Puasa Malaysia Madani Perdana Menteri bersama Rakyat Terengganu di Universiti Malaysia Terengganu (UMT). FOTO GHAZALI KORI