FAHMI beramah mesra bersama penerima sumbangan Hari Raya ketika Majlis Berbuka Puasa pada  Program Cahaya Ramadan bersama Gardenia. FOTO Bernama
FAHMI beramah mesra bersama penerima sumbangan Hari Raya ketika Majlis Berbuka Puasa pada Program Cahaya Ramadan bersama Gardenia. FOTO Bernama
BERNAMA

Kuala Lumpur: Semua Ahli Parlimen diminta untuk meneliti masalah kemudahan gentian optik Point of Presence atau titik kehadiran (PoP) di setiap sekolah di kawasan mereka dan memaklumkannya kepada Kementerian Komunikasi dan Digital (KKD) bagi membolehkan isu liputan internet dapat diselesaikan dengan segera.

Menteri Komunikasi dan Digital Fahmi Fadzil berkata, kementeriannya mahu memastikan golongan guru dan murid memperoleh infrastruktur serta prasarana Internet yang baik supaya dapat dimanfaatkan untuk pembelajaran dan pengajaran.

"Hujung Mac lepas, saya rasmikan PoP di Padang Terap, Kedah dengan kita (KKD) mengusahakan kelengkapan jaringan gentian optik sehingga ke pintu sekolah. Cumanya (penyediaan PoP) dari pintu sekolah ke dalam sekolah itu melibatkan kos kerana setiap sekolah, tapaknya lain.

"Jadi, saya akan maklumkan kepada Ahli Parlimen lain untuk teliti isu ini supaya masalah Internet menjadi sejarah terutamanya kepada pihak sekolah," katanya ketika berucap pada program Cahaya Ramadan bersama Gardenia anjuran Gardenia Bakeries di sini hari ini.

Pada Mac lepas, Fahmi dilapor berkata, sebanyak 55 sekolah luar bandar di Kedah telah dilengkapi dengan PoP yang dapat memperluas jaringan liputan infrastruktur jalur lebar sekolah-sekolah yang terlibat serta kawasan sekitar.

Dalam perkembangan lain, beliau mengingatkan semua lapisan masyarakat untuk menyemak setiap maklumat yang diterima sama ada ia sahih atau sebaliknya sebelum menyebarkannya.

"Hal ini supaya kita tidak menjadi penerus kepada penyebaran maklumat yang palsu, salah atau fitnah. Kita semua perlu berhati-hati dalam menerima, menyampaikan atau menyebarkan sesuatu maklumat kerana itu (tindakan sebar maklumat salah) seakan menyambung masalah dan kita seharusnya menyelesaikannya," katanya.

Sementara itu, menyentuh mengenai dakwaan bahawa 1 Syawal mungkin disambut awal dari dijangkakan, Fahmi sekali lagi menyeru rakyat supaya menunggu pengumuman rasmi oleh Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja.

"Bukan merujuk maklumat daripada WhatsApp, TikTok, Facebook atau dari jiran tetapi rujuk kenyataan yang akan dibuat atau pengumuman Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja, Insya-Allah pada 8 malam, Khamis minggu depan," katanya.

Pada program tersebut, Fahmi turut menyampaikan duit raya sebanyak RM200 kepada setiap 50 keluarga yang kurang berkemampuan di kawasan Lembah Pantai.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 14 April 2023 @ 11:04 PM