Mangsa ketiga ditemukan lemas pada jarak 10 kilometer dari kawasan mangsa dilaporkan jatuh di Sungai Penawan, Kampung Sinsingon, Sepulut. FOTO Ihsan Bomba
Mangsa ketiga ditemukan lemas pada jarak 10 kilometer dari kawasan mangsa dilaporkan jatuh di Sungai Penawan, Kampung Sinsingon, Sepulut. FOTO Ihsan Bomba
Juwan Riduan

Sepulut: Pasukan mencari dan menyelamat (SAR) berjaya menemukan seorang lagi mangsa yang dilaporkan hilang dalam kejadian bot karam di Sungai Penawan, Kampung Sinsingon di sini, hari ini.

Mayat Lasimin Mantun, 38, ditemukan pasukan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) dan penduduk kampung pada 9.30 pagi.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah berkata, operasi SAR hari keempat bersama agensi penyelamat dan penduduk kampung dimulakan pada 8 pagi.

Katanya, operasi pencarian bermula daripada Jeti Salung ke Kampung Pagalungan.

"Seorang mangsa lelaki dewasa ditemukan kira-kira 10 kilometer dari mangsa dilaporkan jatuh oleh pasukan penyelamat dan orang kampung.

"Mangsa seterusnya diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya," katanya dalam satu kenyataan media, hari ini.

Menurutnya, operasi SAR diteruskan bagi mencari seorang lagi mangsa iaitu Carbrineleyvonne Joffrinos, 7 tahun.

"Maklumat akan dikemas kini dari semasa ke semasa," katanya.

Dalam kejadian pada Selasa lalu, bot dinaiki suami isteri bersama tiga anak yang dalam perjalanan pulang ke rumah di Kampung Sinsington di sini, karam dengan seorang daripadanya ditemukan dan dua lagi hilang.

Seorang lelaki berusia 38 tahun turut dilaporkan lemas selepas terjatuh ketika operasi mencari dan menyelamat (SAR) dua beradik yang hilang itu kelmarin.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 14 April 2023 @ 4:21 PM