ANGGOTA bomba memadam kebakaran kereta mewah berhampiran Taman Eco Ara Damansara. FOTO Ihsan JBPM.
ANGGOTA bomba memadam kebakaran kereta mewah berhampiran Taman Eco Ara Damansara. FOTO Ihsan JBPM.
Nor Azizah Mokhtar


Kuala Lumpur: Empat kereta mewah yang baru diturunkan daripada lori pengangkut kenderaan di sebuah galeri berhampiran Taman Eco Ara Damansara dekat sini, musnah dalam kebakaran, tengah malam tadi.

Sepasukan sembilan anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Petaling Jaya dikejarkan ke lokasi sebaik menerima laporan pada 12.30 tengah malam.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Morni Mamat, berkata anggota yang tiba di lokasi mendapati empat kereta terbakar ketika diturunkan dari lori pengangkut.

"Kebakaran membabitkan sebuah BMW X5 baharu, dua BMW 5 Series terpakai dan sebuah BMW 7 Series terpakai.

"Kebakaran menyebabkan dua daripada kenderaan itu musnah 70 peratus, manakala dua lagi kenderaan musnah 100 peratus," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Morni berkata, kerja memadam kebakaran mengambil masa hampir setengah jam sebelum api dapat dipadamkan sepenuhnya pada 1.10 pagi.

Katanya, punca kebakaran dan angka kerugian masih dalam siasatan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 10 April 2023 @ 8:14 AM