Dr Zaliha Mustafa
Dr Zaliha Mustafa
Irwan Shafrizan Ismail


Putrajaya: Kementerian Kesihatan mendapati hebahan Mogok Doktor Malaysia ditularkan di media sosial gagal melumpuhkan perkhidmatan kesihatan seperti dirancang penganjur.

Menteri Kesihatan, Dr Zaliha Mustafa, berkata, rancangan mogok itu dilihat lebih bersifat ancaman dan provokatif serta mempunyai kepentingan tertentu sehingga sanggup mengambil kesempatan terhadap keselamatan serta nyawa rakyat.

"Sehubungan itu, saya ingin menekankan bahawa mogok bukanlah satu jalan penyelesaian terbaik bagi menangani setiap permasalahan yang timbul.

"Sebaliknya perkara itu perlu ditangani secara lebih berhemah dan profesional menerusi platform yang betul," katanya tadi.

Beliau berkata, KKM amat menghargai segala komitmen dan profesionalisme tinggi yang ditunjukkan oleh petugas kesihatan dalam perkhidmatan awam.

"Keutamaan pesakit melebihi kepentingan peribadi terus menjadi inspirasi setiap daripada mereka.

"Kod etika profesional di kalangan pegawai perubatan dan yang lainnya perlulah dipelihara dan sentiasa menjadi pedoman ke arah memartabatkan institusi perubatan di negara ini kepada suatu anjakan paradigma yang sentiasa disegani," katanya.

Dr Zaliha turut mengucapkan ribuan terima kasih kepada semua petugas kesihatan yang sentiasa bersedia memberikan perkhidmatan kepada rakyat dan sekaligus menolak anjuran untuk mogok dalam kalangan doktor baru-baru ini.

"Saya juga ingin merakamkan rasa terima kasih kepada kepimpinan tertinggi KKM, Pengarah-pengarah Kesihatan Negeri dan Hospital, serta ketua perkhidmatan dalam kesiapsiagaan mereka berdepan dengan sebarang kemungkinan tempoh hari," katanya.

Sebelum ini dilaporkan kumpulan doktor kontrak yang merancang untuk mengadakan mogok selama tiga hari bermula 3 hingga 5 April, tidak berganjak daripada keputusan mereka untuk meneruskan tindakan itu.

Jurucakap kumpulan itu yang dikenali sebagai Mogok Doktor Malaysia di Instagram, mendakwa seramai 10,000 hingga 12,000 petugas kesihatan akan menyertai mogok berkenaan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 7 April 2023 @ 3:57 PM