Muhammad Zulsyamini Sufian Suri


Ipoh: Permohonan bagi pengambilan khas guru secara 'one-off' dibuka mulai hari ini untuk menampung kekurangan tenaga pengajar di seluruh negara.

Timbalan Menteri Pendidikan Lim Hui Ying berkata, permohonan pengambilan menerusi Suruhanjaya Perkhidmatan Pelajaran (SPP) itu akan dibuka sehingga tarikh akhir yang tidak ditetapkan.

Katanya, pengisian kekosongan terutama bagi empat subjek kritikal iaitu Reka Bentuk dan Teknologi (RBT), Bahasa Melayu (BM), Bahasa Inggeris (BI) dan Pendidikan Islam.

"Graduan sama ada daripada bidang pendidikan atau bukan pendidikan juga boleh membuat permohonan sekiranya berminat menjadi guru atau guru sementara.

"Mereka boleh membuat permohonan melalui laman web dan kita harap pengambilan ini boleh mengatasi kekurangan guru di seluruh negara terutama dalam mata pelajaran tersebut," katanya pada sidang media selepas merasmikan Pameran Pendidikan Institusi Pengajian Tinggi Awam Tahun 2023 di Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan Yuk Choy di sini, hari ini.

Selain tiada tarikh tutup, Lim juga memaklumkan mereka yang pernah memohon sebelum ini tetapi tidak berjaya boleh mengemukakan semula permohonan mengikut opsyen mata pelajaran diperlukan Kementerian Pendidikan (KPM).

KPM dilaporkan kekurangan guru kira-kira 4.49 peratus atau 19,431 orang berikutan persaraan wajib, persaraan pilihan, kenaikan pangkat, cuti belajar, cuti tanpa gaji, meletak jawatan dan meninggal dunia.

Sebelum ini Ketua Pengarah Pendidikan, Datuk Pkharuddin Ghazali dilapor berkata, sudah berbincang dengan SPP untuk pengambilan guru khusus untuk menangani isu kekurangan tenaga pengajar terutama empat subjek kritikal.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 7 April 2023 @ 1:42 PM
LIM Hui Ying (dua kanan) melawat Pendidikan Institut Pengajian Tinggi Awam Siri 3 Tahun 2023 di Sekolah Menangah Jenis Kebangsaan Yuk Choy Ipoh. FOTO L Manimaran.
LIM Hui Ying (dua kanan) melawat Pendidikan Institut Pengajian Tinggi Awam Siri 3 Tahun 2023 di Sekolah Menangah Jenis Kebangsaan Yuk Choy Ipoh. FOTO L Manimaran.