V Sivakumar. FOTO Arkib NSTP.
V Sivakumar. FOTO Arkib NSTP.
Amir Abd Hamid


Kuala Lumpur: Malaysia berharap pengambilan kemasukan tenaga kerja asing dari Kemboja meningkat hasil dua Memorandum Persefahaman (MoU) yang ditandatangani semasa lawatan kerja Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ke Kemboja pada 27 Mac lalu.

Menteri Sumber Manusia V Sivakumar berkata, dalam lawatan kerja yang turut disertai beliau itu, Kemboja juga bersetuju memberikan latihan dan pendedahan terhadap tenaga kerja mereka, sebelum dihantar ke Malaysia.

Menurutnya, mengikut rekod Kementerian Sumber Manusia (KSM), setakat ini sebelum MoU itu dimeterai terdapat seramai 4,422 pekerja Kemboja di negara ini dengan 926 orang daripadanya adalah pekerja domestik.

"Buat masa ini terdapat 4,422 pekerja Kemboja di negara kita dan daripada itu adalah 926 pekerja domestik.

Ini sebelum menandatangani MoU itu. Ia bukanlah jumlah besar berbanding pekerja Bangladesh dan Nepal di negara kita.

"Selepas MoU termeterai kami mengharapkan jumlah pekerja dari Kemboja boleh ditingkatkan," katanya pada sidang media sempena majlis menandatangani nota kolaborasi (NOC) antara Perkeso dengan Jabatan Penjara di Wisma Perkeso, di sini, hari ini.

Hadir sama, Ketua Pengarah Penjara, Datuk Nordin Muhamad, Pengerusi Perkeso Datuk Seri Subahan Kamal dan Ketua Eksekutif Perkeso Datuk Seri Azman Aziz Mohammed.

Sivakumar menjelaskan sebelum dibenarkan bekerja di Malaysia, tenaga kerja Kemboja akan diberi pendedahan di negara sumber.

"Ini supaya mereka boleh menerima cara hidup dan budaya di negara kita.

"Seterusnya mereka dapat bekerja dengan baik di Malaysia sekali gus juga untuk mengelak insiden tidak diingini berlaku di negara kita dengan kehadiran tenaga kerja berkenaan," katanya.

Dalam lawatan rasmi sehari Anwar ke Kemboja baru-baru ini, beliau mengadakan pertemuan dua hala dengan Perdana Menteri Kemboja Hun Sen bagi membincangkan pelbagai isu serantau dan antarabangsa.

Ia disusuli pemeteraian dua MoU antara kerajaan Malaysia dan Kemboja.

MoU itu adalah mengenai Pengambilan, Penggajian dan Penghantaran Pulang Pekerja Kemboja bagi Sektor Domestik serta Pengambilan, Penggajian dan Penghantaran Pulang Pekerja Kemboja bagi Sektor Formal yang akan memperkasakan lagi kerjasama kedua-dua negara dalam sektor perburuhan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 6 April 2023 @ 4:06 PM