Anwar Ibrahim ketika berucap di Majlis Perhimpunan Bulanan Kementerian Kewangan di Putrajaya. FOTO MOHD FADLI HAMZAH
Anwar Ibrahim ketika berucap di Majlis Perhimpunan Bulanan Kementerian Kewangan di Putrajaya. FOTO MOHD FADLI HAMZAH
BERNAMA

Kuala Lumpur: Jemaah menteri akan memutuskan langkah-langkah susulan termasuk keperluan untuk menubuhkan satu jawatankuasa untuk memantau pelaburan dari China, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini.

Beliau berkata langkah-langkah susulan berkenaan akan dibincangkan dalam satu mesyuarat jemaah menteri yang diadakan esok.

Setakat ini, pelaburan dan projek dari China dipantau oleh Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) serta kerajaan China di bawah pengawasan Perdana Menteri Li Qiang yang akan dilaksanakan akhir tahun ini atau selewat-lewatnya awal tahun hadapan.

"Kita juga ada Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) dan Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) yang mampu menyelenggarakan kerana persiapan yang dibuat oleh Kementerian Luar, MITI dan pegawai-pegawai sangat memuaskan sehingga kita mencapai prestasi yang diharapkan," kata Anwar.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan daripada Fong Kui Lun (DAP-Bukit Bintang) mengenai penubuhan jawatankuasa khas untuk pantau pelaburan dari China di Dewan Rakyat hari ini.

Terdahulu, Anwar memaklumkan mengenai hasil positif lawatan sulung beliau ke China baru-baru ini dari segi ekonomi dan peluang pelaburan, termasuk komitmen pelaburan sebanyak RM170 bilion yang diraih dari lawatan tersebut.

Perdana Menteri berkata beberapa penjanjian persefahaman telah ditandatangani semasa lawatan itu termasuk 12 dalam sektor perkhidmatan, 11 dalam sektor pengilangan dan empat dalam sektor infrastruktur.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 4 April 2023 @ 3:55 PM