BERNAMA

Kuala Lumpur: Kerajaan akan memastikan situasi menang-menang dicapai supaya tiada pihak yang berasa rugi atau tersingkir dalam penyelesaian isu perjawatan doktor kontrak.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang juga pengerusi Jawatankuasa Peringkat Tertinggi bagi menyelesaikan isu itu berkata, pihaknya akan membentangkannya perincian mengenai perkara berkenaan kepada Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam masa terdekat.

"Bagi kita, menyantuni doktor kontrak yang pada hemat saya harus dibela mesti mengikut tatacara dan skim perkhidmatan kerajaan.

"Tidak ada masalah yang kita tidak boleh bincang dan selesaikan. Saya tahu masalah ini masalah lama tetapi saya yakin ia boleh diselesaikan," katanya kepada pemberita ketika ditemui di Majlis Santunan Kasih Ramadan 2023 di Projek Perumahan Rakyat Seri Semarak, di sini hari ini.

Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata, jawatankuasa khas itu yang membabitkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Jabatan Perkhidmatan Awam dan Suruhanjaya Perkhidmatan Awam membincangkan beberapa cadangan termasuk pemberian perjawatan tetap kepada doktor kontrak.

"Beberapa syarat skim baharu akan dibincangkan, jadi saya harap mereka (doktor kontrak) memberi peluang kepada saya yang diberi kepercayaan sebagai pengerusi jawatankuasa untuk menyelesaikannya," katanya.

Sebelum ini, sekumpulan doktor kontrak dilaporkan akan melancarkan mogok di seluruh negara mulai esok sehingga Rabu ini sebagai memprotes isu perjawatan mereka yang masih tergantung.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 2 April 2023 @ 9:12 PM