DUA anggota JPJ mengawal lalu lintas susulan seorang lelaki kemalangan. FOTO Ihsan JPJ
DUA anggota JPJ mengawal lalu lintas susulan seorang lelaki kemalangan. FOTO Ihsan JPJ
Ruwaida Md Zain


Shah Alam: Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Negeri Selangor menafikan dakwaan sekatan jalan raya menjadi punca satu kemalangan Kilometer 4.4 Lebuhraya Selat Klang Utara dari arah Bandar Sultan Suleiman menghala ke Shah Alam, Selasa lalu.

JPJ dalam kenyataan berkata, dua pegawai JPJ yang bertugas memberikan bantuan awal dengan mengawal keadaan lalu lintas di lokasi kemalangan itu.

"Kita memandang serius berhubung satu isu yang tular di media sosial dalam bentuk kiriman suara (voice note) mengenai dua pegawai JPJ sedang berada berdekatan dengan seorang mangsa kemalangan jalan raya dalam keadaan terbaring di atas jalan raya.

"Menurut kiriman suara yang ditularkan itu, kemalangan didakwa berpunca daripada sekatan jalan raya yang dijalankan oleh JPJ Negeri Selangor," katanya dalam kenyataan malam ini.

Menurutnya, situasi sebenar yang berlaku di lapangan adalah sepasukan anggota JPJ Selangor yang sedang melakukan rondaan di sekitar kawasan mendapati seorang penunggang motosikal terbaring di atas jalan akibat kemalangan pada 5.40 petang 28 Mac lalu.

Katanya, tanpa membuang masa, anggota berkenaan memberikan bantuan awal dengan mengawal lalu lintas di lokasi dengan meletakkan kon keselamatan.

"Malah, mereka turut menghubungi talian kecemasan 999 untuk bantuan kecemasan paramedik," katanya.

Menurut kenyataan, melalui siasatan awal mendapati kemalangan berlaku kerana mangsa hilang kawalan lalu terbabas.

"Mangsa kini dilaporkan sedang menerima rawatan lanjut di Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) Klang, dan kes disiasat mengikut Sek. 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 198

.

"Pihak JPJ memandang serius terhadap sebarang persepsi negatif yang dibuat terhadap jabatan yang didakwa seolah-olah menjadi punca kemalangan itu.

"Tambahan pula, ia disebarkan melalui media sosial oleh segelintir netizen yang tidak bertanggungjawab, yang mana perkara sebegini akan secara langsung mengganggu siasatan oleh pihak berkuasa.

"Malah perkara ini secara langsung menjejaskan reputasi dan nama baik jabatan, yang selalu membantu dan bukan menyusahkan masyarakat," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 31 Mac 2023 @ 11:59 PM