LUKANISMAN Awang Sauni. FOTO Aziah Azmee.
LUKANISMAN Awang Sauni. FOTO Aziah Azmee.
BERNAMA

Bau: Kementerian Kesihatan (KKM) belum menetapkan garis masa bagi memuktamadkan cadangan untuk menyerapkan petugas perubatan berstatus kontrak ke dalam sistem perjawatan tetap menerusi kaedah caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).

Timbalan Menteri Kesihatan Lukanisman Awang Sauni berkata inisiatif itu memerlukan pindaan berkaitan Akta Pencen 1980 dilakukan dan perbincangan bersama Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) masih diadakan.

"Kita sedang mengkaji (keperluan pindaan akta) dan perbincangan (bersama JPA) masih berlangsung memandangkan ia membabitkan bukan hanya skim di bawah pegawai perubatan sahaja," katanya ketika ditemui selepas menghadiri Program Skim Peduli Kesihatan untuk Kumpulan B40 (PeKa B40) di sini hari ini.

Beliau berkata KKM meneliti cadangan berkenaan secara lebih meluas dan ia turut membabitkan petugas perubatan sektor farmasi dan pergigian, selain menyelesaikan isu kekurangan perjawatan kakitangan perubatan seperti jururawat dan fisioterapi.

Semalam, Menteri Kesihatan Dr Zaliha Mustafa dalam sesi soal jawab di Dewan Negara dilaporkan berkata, usaha menyerap petugas perubatan kontrak tanpa diberikan pencen itu diambil bagi menangani bebanan tugas yang melebihi kapasiti sumber sedia ada serta untuk mengurangkan beban skim berpencen ditanggung negara ketika ini yang mencecah RM29.1 bilion pada 2021.

Beliau berkata petugas yang terbabit masih akan menerima manfaat yang sama seperti pekerja tetap yang lain seperti membuat pinjaman perumahan menerusi Lembaga Pembiayaan Perumahan Sektor Awam (LPPSA).

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 31 Mac 2023 @ 10:02 PM