AHMAD Zahid ketika menghadiri Majlis Santunan Kasih Ramadan Negeri Perak. FOTO Muhammad Zulsyamini Suffian Suri.
AHMAD Zahid ketika menghadiri Majlis Santunan Kasih Ramadan Negeri Perak. FOTO Muhammad Zulsyamini Suffian Suri.
Muhammad Zulsyamini Sufian Suri


Ipoh: Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menghormati keputusan Mahkamah Persekutuan yang menolak permohonan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak untuk menyemak semula sabitan dan hukuman penjara 12 tahun serta denda kerana menyeleweng RM42 juta dana SRC International Sdn Bhd.

Beliau bagaimanapun enggan mengulas lanjut mengenainya.

"Itu (keputusan) mahkamah," katanya ringkas ketika mengenai keputusan ketika menghadiri Majlis Santunan Kasih Ramadan Negeri Perak di Sekolah Izzuddin Shah (SIS), di sini, hari ini.

Hari ini, media melaporkan Najib, 69, yang kini menjalani hukuman penjara 12 tahun di penjara Kajang, memohon untuk membatalkan keputusan yang dibuat oleh panel lima hakim Mahkamah Persekutuan diketuai Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat pada 23 Ogos tahun lalu.

Keputusan dibacakan oleh Hakim Mahkamah Persekutuan, Datuk Vernon Ong Lam Kiat, dengan keputusan majoriti 4-1 menolak permohonan Najib.

Dalam perkembangan lain, Ahmad Zahid berkata, beliau berharap perlantikan Datuk Seri Ab Rauf Yusoh sebagai Ketua Menteri Melaka baharu dapat lakukan beberapa perubahan terutamanya dari aspek menarik pelabur ke negeri itu.

"Saya harap Rauf bukan sahaja dapat menyambung (pentadbiran), tetapi dapat lakukan beberapa perubahan terutamanya meletakkan satu paras lagi bagi menarik pelabur ke Melaka khususnya dalam bidang industri dan pelancongan.

"Saya sudah dimaklumkan terdapat kawasan industri yang akan dibangunkan dan potensi pelaburan FDI (Pelaburan Langsung Asing) akan dibawa ke Melaka yang bernilai RM100 juta untuk tempoh empat tahun ini.

"Kita harap peluang pekerjaan dan pembangunan ekonomi serta hasil yang akan dikutip kerajaan negeri akan ditambah dengan usaha yang akan dilakukan oleh Ketua Menteri yang baharu," katanya.

Sementara itu, Ahmad Zahid yang juga alumni SIS mengumumkan peruntukan RM1 juta kepada sekolah itu bagi kerja membaikpulih serta menaiktaraf fasiliti dan infrastruktur sekolah itu.

Terdahulu dalam ucapannya, Ahmad Zahid berkata usaha menambah nilai semua 55 Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) di negara ini dengan ko-kurikulum Ulul Albab, dimulakan tahun ini.

"Semua pengambilan bagi MRSM tahun ini, tanpa kompromi dari segi akademik dan kursus profesional lain-lain, kita Ulul Albab-kan semua MRSM (bagi) tahun pertama pengambilan di semua MRSM.

"Ini bertujuan menyuntik rasa ketakwaan dan keimanan dari tahap di bangku sekolah menengah," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 31 Mac 2023 @ 8:30 PM