FOTO HIASAN
FOTO HIASAN
Mahaizura Abd Malik


Kuala Lumpur: Tiga perempat daripada 85 peratus rakyat Malaysia dewasa yang tidak menjalani saringan kesihatan berkala, didiagnosis dengan beberapa penyakit tidak berjangkit (NCD).

Daripada jumlah itu, gejala kolesterol tinggi menyumbang kepada 37 peratus diikuti tekanan darah tinggi (29 peratus), diabetes (13 peratus) dan masalah kesihatan lain (10 peratus).

Dapatan hasil tinjauan State of Health of the Nation yang dijalankan secara dalam talian Disember lalu, membabitkan 500 responden berumur 40 hingga 60 tahun.

Hanya 66 peratus rakyat Malaysia dalam lingkungan usia berkenaan mempunyai kesedaran untuk menjalani saringan kesihatan setiap tahun, manakala 85 peratus mendakwa pernah membuat saringan kesihatan pada masa lalu.

Tinjauan dijalankan The Green Zebras bagi pihak Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) dan sebuah syarikat farmaseutikal terkemuka, Novartis Malaysia itu turut mendedahkan tujuh daripada 10 responden bersenam sekurang-kurangnya sekali seminggu dan 51 peratus mengatakan mereka mempunyai tabiat pemakanan sihat.

Dapatan itu merumuskan hampir semua 98 peratus daripada responden berpendapat, mereka mempunyai kesihatan yang baik atau sederhana.

Presiden MMA, Dr Muruga Raj Rajathurai berkata, pemeriksaan kesihatan secara berkala amat penting bagi mengesan penyakit lebih awal.

Katanya, biarpun mengamalkan diet sihat dan bersenam boleh mengurangkan risiko penyakit jantung, namun faktor seperti umur, jantina, pengurusan tekanan dan keluarga yang mempunyai sejarah kolesterol tinggi juga perlu diberi keutamaan.

"Dalam tinjauan yang dijalankan, 46 peratus daripada responden memaklumkan ada ahli keluarga mereka mengalami masalah jantung atau berkaitan kolesterol.

"Daripada kumpulan ini, 42 peratus menjurus kepada kematian. Walaupun mempunyai sejarah keluarga, responden dalam kumpulan ini tidak mengambil sebarang langkah penting untuk mencegah penyakit jantung.

"Kami menggesa semua rakyat Malaysia yang mempunyai sejarah keluarga kolesterol tinggi untuk menjalani pemeriksaan kesihatan berjadual bagi mengetahui status kesihatan mereka. Paling penting, dapatkan nasihat daripada doktor anda tentang sebarang rawatan yang diperlukan untuk mengawal tahap kolesterol," katanya dalam kenyataan.

Sementara itu, Presiden Syarikat Novartis Malaysia, Mohamed El-Wakil berkata, empat daripada 10 individu dewasa Malaysia mempunyai jumlah kolesterol jahat tinggi atau dikenali sebagai hiperkolesterolemia dalam badan mereka.

"Ini penyebab rakyat Malaysia menghidap penyakit kardiovaskular berusia 10 tahun lebih muda berbanding negara maju lain iaitu 25 peratus berusia bawah 50 tahun.

"Rakyat Malaysia digalakkan untuk mendapatkan nasihat doktor mereka tentang rawatan terbaik sedia ada kerana kini ada terapi baharu yang transformatif untuk merawat hiperkolesterolemia dengan berkesan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 31 Mac 2023 @ 5:51 PM