AB Rauf mengangkat sumpah sebagai Ketua Menteri Melaka Ke-13 hari ini. FOTO Bernama.
AB Rauf mengangkat sumpah sebagai Ketua Menteri Melaka Ke-13 hari ini. FOTO Bernama.
Mohammad Khairil Ashraf Mohd Khalid


Kuala Lumpur: Pertukaran Ketua Menteri Melaka tidak menyebabkan negeri itu bergolak sebaliknya akan memperkemaskan pentadbiran dan kemantapan politik Umno.

Pengerusi Veteran Umno, Datuk Othman Desa berkata, pertukaran ini akan memudahkan perancangan program untuk parti dan negeri.

"Dari sudut politik, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh (Pengerusi Badan Perhubungan Umno Melaka) menjadi ketua politik sebuah parti di negeri (manakala) Datuk Seri Sulaiman Md Ali bukanlah ketua perhubungan ke apa.

"Jadi, pertukaran ini ialah untuk memperkemaskan dari segi pentadbiran negeri dan kemantapan politik Melaka.

"Dan Datuk Ab Rauf seorang tokoh yang saya yakin boleh meneraju Melaka dan mendapat sokongan politik keseluruhan disebabkan dia Pengerusi Perhubungan," katanya ketika dihubungi Harian Metro hari ini.

Ab Rauf hari ini dilantik sebagai Ketua Menteri Melaka Ke-13 yang baharu menggantikan Sulaiman yang meletakkan jawatan.

Menyentuh adakah barisan exco Melaka yang bakal dilantik nanti wajar mengikut jejak langkah barisan kabinet Kerajaan Perpaduan, Othman sebaliknya berkata, perkara berkaitan pelantikan itu adalah kuasa Ketua Menteri.

"Masih terlalu awal untuk saya komen sebab itu bidang tugas Ketua Menteri. Kalau semua negeri tubuh Kerajaan Perpaduan tidak mengapa tapi ada negeri yang belum tubuh macam itu.

"Mungkin dia akan kekal status quo macam yang ada. Itu kuasa Ketua Menteri untuk mengatur dan memperkemaskan pentadbiran negeri," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 31 Mac 2023 @ 4:58 PM