Oleh Zuhainy Zulkiffli


Bayan Lepas: "Setiap hari, saya dan suami terpaksa bawa anak bongsu yang mengidap penyakit hydrocephalus ke gerai menjual air tebu di tepi jalan.

"Dengan keadaan kepalanya yang semakin membesar, kami tiada pilihan selain membiarkan dia duduk di dalam kereta sorong bayi sehingga selesai berniaga pada waktu petang," kata Nor Sarlina Mohammad Ali, 33, mengenai cabaran menjaga anak istimewanya, Nur Sarah Natasha Hamad, 2.

Nor Sarlina berkata, penyakit hydrocephalus dialami menyebabkan pengumpulan cecair berada di bahagian otak yang menjadi punca pembesaran berkenaan.

Katanya, pernah berlaku apabila kepala kanak-kanak berkenaan mengeluarkan darah dipercayai akibat terlalu lama duduk di dalam kereta sorong bayi berkenaan ketika membawanya menjual air tebu.

"Mujurlah tidak ada perkara yang serius berlaku namun kejadian itu menyebabkan kami lebih berhati-hati terutama ketika mengangkat Nur Sarah Natasha.

"Jika tersilap cara, tulang lehernya boleh patah berikutan kepalanya yang berat serta tidak ditampung dengan betul atau lebih buruk, boleh hilang nyawa," katanya ketika ditemui di rumahnya di Flat I-Park di sini, semalam.

Menurut Nor Sarlina, dia dan suami tinggal bersama empat lagi anak berusia lima hingga lapan tahun, ibu serta kakaknya berstatus kurang upaya (OKU).

Berikutan kepala Nur Sarah Natasha yang besar dan berat, ibunya juga tidak mampu menjaga atau mengangkat kanak-kanak malang itu kerana sudah uzur.

Nor Sarlina berkata, dia tidak pernah memohon bantuan daripada agensi dan hanya bergantung kepada pendapatan menjual air tebu sebanyak RM1,500 sebulan.

Katanya, wang hasil jimat cermat itu diguna bagi membeli lampin pakai buang dan susu bayi yang keseluruhannya mencecah RM300 sebulan.

"Saya bukan bermaksud meminta-minta, tetapi amat memerlukan kerusi roda khas bagi kegunaan Nur Sarah Natasha terutama yang boleh menampung bahagian kepalanya," katanya.

Terdahulu keluarga terbabit menerima lawatan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bayan Lepas, Azrul Mahathir Aziz bersama Pengurus Pejabat Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) Georgetown Mohd Asri Mohd Rasid serta wakil Zakat Pulau Pinang dan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Negeri.

Azrul berkata, agensi terbabit akan melihat bantuan yang sesuai kepada waris dan Nur Sarah Natasha selain mempertimbangkan kerusi roda khas kepada kanak-kanak itu.

tamat

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 31 Mac 2023 @ 3:32 PM
Nur Sarah Natasya Hamad, dua tahun, yang mengidap penyakit hydrocephalus ketika ditemui di rumahnya, di sini. FOTO ZUHAINY ZULKIFFLI
Nur Sarah Natasya Hamad, dua tahun, yang mengidap penyakit hydrocephalus ketika ditemui di rumahnya, di sini. FOTO ZUHAINY ZULKIFFLI