KHOO didakwa dengan sengaja menghalang penjawat awam iaitu anggota MBPJ daripada menjalankan tugas jawatannya di sebuah rumah di Taman Kanagapuram pada 9 malam, 22 Mac lalu. FOTO Bernama
KHOO didakwa dengan sengaja menghalang penjawat awam iaitu anggota MBPJ daripada menjalankan tugas jawatannya di sebuah rumah di Taman Kanagapuram pada 9 malam, 22 Mac lalu. FOTO Bernama
BERNAMA

Petaling Jaya: Lelaki warga emas mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret, di sini, hari ini, atas pertuduhan menghalang penjawat awam dalam operasi penangkapan anjing liar oleh Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) minggu lalu.

Patrick Khoo Kian Wui, 69, yang bekerja sendiri didakwa dengan sengaja menghalang anggota MBPJ Azizul Azzim Norehan daripada menjalankan tugas-tugasnya di sebuah rumah di Taman Kanagapuram di sini, pada 9 malam, 22 Mac lalu.

Pendakwaan dikemukakan mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda sehingga RM10,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya Farhanah Fuad menawarkan jaminan RM5,000 dengan seorang penjamin, namun peguam Rajsurian Pillai yang mewakili tertuduh memohon jaminan rendah atas alasan anak guamnya hanya tinggal kira-kira empat kilometer (km) dari kompleks mahkamah selain hadir secara sukarela di Ibu Pejabat Polis Daerah Petaling Jaya sepanjang siasatan dijalankan.

Majistret Shahril Anuar Ahmad Mustapa membenarkan Khoo diikat jamin RM2,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 16 Jun ini untuk sebutan semula kes.

Jumaat lalu, media melaporkan polis menjalankan siasatan terhadap sebuah rakaman kamera litar tertutup yang tular memaparkan insiden pergelutan antara anggota MBPJ dengan seorang lelaki semasa operasi menangkap anjing liar.

Lelaki itu dikatakan cuba melindungi kumpulan anjing liar dengan memasukkan haiwan itu ke dalam premisnya, menyebabkan pasukan penangkap anjing cuba menghalang tindakannya sebelum berlaku pergelutan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 31 Mac 2023 @ 3:26 PM