Oleh Mohd Roji Kawi


Kuching: Tiga lagi kawasan tanah perkuburan Islam sekitar bandar raya ini akan diperbesarkan bagi menampung keperluan pengebumian yang semakin meningkat di Tanah Perkuburan Islam Samariang, Petra Jaya, di sini.

Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Abang Openg berkata, tiga kawasan tanah perkuburan yang akan diperbesarkan itu terletak di Matang, Bako dan Santubong.

Pada masa sama, katanya, rancangan diteliti untuk memperbesarkan kawasan Tanah Perkuburan Islam Samariang bagi memastikan tanah perkuburan Islam terbesar itu mampu menampung keperluan pengebumian sehingga tahun 2050.

"Tiga tanah perkuburan baharu yang akan diperbesarkan itu akan menggunakan kaedah pengurusan sama seperti di Tanah Perkuburan Islam Samariang iaitu dilengkapi dengan data maklumat bagi memudahkan waris mengesan lokasi kubur ahli keluarga mereka.

"Apa yang saya rancang ini (untuk Tanah Perkuburan Islam Samariang, Matang, Bako dan Santubong) adalah untuk tempoh sehingga tahun 2050 dan ia akan dikemaskini oleh sesiapa sahaja selepas saya nanti," katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas merasmikan Kompleks Raudhatul Sakinah Kuching di Tanah Perkuburan Islam Samariang, hari ini.

Kompleks yang dibina dengan kos RM5.6 juta itu dilengkapi pelbagai kemudahan termasuk tempat pengurusan jenazah, pejabat pengurusan tapak kubur serta tempat menunggu.

Tanah Perkuburan Islam Samariang mula dibuka pada tahun 1982 dan kini menempatkan lebih 18,000 kubur.

Difahamkan, secara purata tanah perkuburan itu menerima lapan jenazah setiap hari dan tapak sedia ada dijangka hanya mampu bertahan dalam tempoh lima tahun akan datang.

Mengulas lanjut, Abang Johari berkata, selain Kuching, rancangan pembesaran dan pembukaan kawasan tanah perkuburan baharu itu turut dirancang di kawasan lain antaranya Miri, Sibu dan Bintulu.

Menurutnya, kesesakan tanah perkuburan kini antara isu yang sering dibangkitkan, bukan sahaja kalangan masyarakat Islam, malah pengganut agama lain di Sarawak juga memerlukan tapak perkuburan yang lebih luas.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 31 Mac 2023 @ 3:10 PM
Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg, merasmikan Majlis Perasmian Kompleks Pusara Islam Samariang, "Samariang Islamic Cemetery Complex" (SICC) di Tanah Perkuburan Islam Samariang, Kuching. FOTO NADIM BOKHARI
Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg, merasmikan Majlis Perasmian Kompleks Pusara Islam Samariang, "Samariang Islamic Cemetery Complex" (SICC) di Tanah Perkuburan Islam Samariang, Kuching. FOTO NADIM BOKHARI