Lokasi rumah 4 kanak-kanak  rentung dalam satu kebakaran di Kampung Sabak Awor, Muar. FOTO NUR AISYAH MAZALAN
Lokasi rumah 4 kanak-kanak rentung dalam satu kebakaran di Kampung Sabak Awor, Muar. FOTO NUR AISYAH MAZALAN
Oleh Mohamed Farid Noh


Johor Bahru: Terlalu awal untuk membuat kesimpulan tragedi menyebabkan empat kanak-kanak terkorban dalam kebakaran rumah di Kampung Sabak Awor, Muar, kelmarin membabitkan elemen kecuaian.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Johor, Khairin Nisa Ismail berkata, biar pihak berkaitan termasuk polis melakukan siasatan penuh terlebih dahulu.

"Apabila laporan penuh sudah siap, ia sudah pasti akan dirujuk kepada Jabatan Peguam Negara bagi mendapatkan nasihat tindakan sewajarnya jika ada unsur kecuaian," katanya selepas menziarahi ibu bapa empat kanak-kanak malang itu semalam.

Ibu bapa atau penjaga yang didapati cuai sehingga anak atau jagaan mereka mendapat kecederaan fizikal, emosi apatah lagi maut, boleh didakwa mengikut Akta Kanak-Kanak 2001.

Seksyen 31(1)(a) akta itu menggariskan kesalahan yang membabitkan penganiayaan, pengabaian dan pembuangan atau pendedahan kanak-kanak.

Mana-mana individu, ibu bapa, atau penjaga yang didapati bersalah, boleh dikenakan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda RM50,000 atau kedua-duanya

Kelmarin, empat beradik berusia tiga hingga lapan tahun maut dalam kebakaran sebuah rumah di Jalan Ismail, Kampung Sabak Awor, kira-kira jam 7.49 malam.

Mangsa adalah Puteri Aisyah Tenko To, 8; Mohd Hakim, 6; Mustakim, 4 dan Fatihah Aisyah, 3, maut dalam tragedi ketika berbuka puasa itu.

Dalam pada itu, Khairin Nisa berkata, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) memantau emosi dan mental ibu bapa mangsa, Nabila Sedu, 31 dan Thein Ko Htut, 30, yang masih trauma dengan tragedi itu.

"Selain sokongan emosi, JKM turut membantu dalam segi makan minum dan keperluan harian mangsa dan akan beri bantuan kaunseling bagi memastikan mereka tidak menghadapi tekanan yang berlebihan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 31 Mac 2023 @ 3:04 PM