TANGKAP layar video tular pergaduhan kumpulan baju putih dan hitam di Jalan Abdullah Tahir, Johor Bahru.
TANGKAP layar video tular pergaduhan kumpulan baju putih dan hitam di Jalan Abdullah Tahir, Johor Bahru.
Omar Ahmad


Johor Bahru: Tiga lelaki tempatan ditahan susulan rusuhan dua kumpulan yang berlaku di Jalan Abdullah Tahir, di sini kelmarin.

Ketua Polis Johor, Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata, lelaki berusia 23 hingga 26 tahun itu ditahan sejurus kejadian pada 5.15 pagi hari kejadian dan pihaknya kini giat mengesan tujuh lagi baki suspek yang terbabit.

"Pihak polis mengesahkan telah menerima laporan polis berhubung kejadian pada 6.31 pagi hari sama daripada dua lelaki yang bekerja sebagai pengusaha kedai makan.

"Laporan polis dibuat berkaitan sekumpulan lelaki warga tempatan telah bertindak memukul pengadu berusia 44 tahun dan rakan sekerjanya berumur 29 tahun, menggunakan kayu baseball dan sebatang kayu.

SUSPEK yang ditahan. FOTO Ihsan Polis.
SUSPEK yang ditahan. FOTO Ihsan Polis.

"Pengadu mengalami luka calar di beberapa bahagian badan, dan rakan sekerjanya mengalami sakit di bahagian perut dan kepala," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Menurut Kamarul Zaman, tindakan pantas anggota polis Unit Kereta Peronda (MPV) Ibu Pejabat Polis Daerah Johor Bahru Selatan (JBS) berjaya menangkap tiga suspek di lokasi kejadian.

Bagaimanapun, tujuh lagi lelaki sempat melarikan diri dengan menaiki dua Proton Gen2 dan Toyota Vios.

"Tiga suspek yang ditahan itu direman hingga 2 April depan dan kes disiasat mengikut Seksyen 148 Kanun Keseksaan dan Seksyen 427 Kanun Keseksaan," katanya.

Beliau meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan supaya menghubungi talian hotline IPD JBS 07-2182323 atau Pegawai Penyiasat Kes Inspektor Jacky Jaulis 014-6566820.

Sejak semalam, tular video berdurasi 2 minit enam saat menunjukkan kumpulan lelaki berbaju putih dan lelaki berbaju hitam bergaduh di tengah jalan dan membabitkan lebih 20 individu.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 31 Mac 2023 @ 2:38 PM