Ahmad Hasbi


Seremban: Kehadiran objek berkain putih berbunjut menyerupai pocong di hadapan gerai menjadi tarikan 'menyeramkan' di sebuah gerai menjual martabak di Bazar Ramadan Stadium Paroi, di sini.

Sesuai dengan tarikan itu, dua anak muda dari Senawang menyediakan menu istimewa mereka yang diberi nama 'roti pocong' kepada pelanggan.

Ternyata idea kreatif ditampilkan Muhammad Firdaus Kamaruddin, 37 dan rakannya, Mohd Yusri Baharin, 35 membuahkan hasil apabila ia berjaya mencuri perhatian ramai pelanggan.

Mohd Yusri berkata, dia cuba mencari kelainan yang berbeza daripada peniaga lain memandangkan martabak salah satu makanan yang banyak dijual di bazar Ramadan dan perlu bersaing dengan peniaga lain.

"Martabak ini antara makanan popular setiap kali tiba Ramadan. Saya berpendapat jika gerai saya mampu tampilkan sesuatu lain dari yang lain ia satu bonus buat saya sebagai salah satu strategi pemasaran.

"Nampaknya pemasaran saya boleh dikatakan berjaya kerana dari hari pertama Ramadan, kira-kira 800 martabak sudah terjual termasuk roti pocong yang dijual pada harga RM8," katanya ketika ditemui semalam.

Bercerita mengenai replika pocong yang diletakkan di hadapan gerai, Mohd Yusri berkata, ia turut menjadi daya penarik kerana ramai pelanggan terutama kanak-kanak mahu mengambil gambar untuk diletakkan di media sosial masing-masing.

PALING mencuri tumpuan ialah replika pocong turut diletakkan di hadapan gerainya sebagai simbolik kepada menu roti pocong yang disediakan. FOTO Azrul Edham
PALING mencuri tumpuan ialah replika pocong turut diletakkan di hadapan gerainya sebagai simbolik kepada menu roti pocong yang disediakan. FOTO Azrul Edham

Penebar roti canai, Muhammad Firdaus berkata, menu roti pocong bukan asing baginya kerana dia turut menyediakan menu itu di restoran mereka di Taipan, Senawang.

"Kami memilih menu ini untuk dijual di bazar Ramadan kerana hasil daripada pemerhatian kami, belum ada lagi peniaga di negeri ini yang menawarkan menu seumpama ini.

"Ia tidak jauh beza dengan martabak lain, cuma bentuknya dibuat seakan-akan pocong dan diletakkan keju di atasnya.

"Ketika ini kami menjual kira-kira 20 roti pocong sehari. Mungkin ia tidak popular kerana bukan makanan tradisional dan pelanggan belum ada pengalaman merasainya," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 31 Mac 2023 @ 2:10 PM