HUSSEIN Omar menunjukkan dadah yang dirampas bernilai RM11 juta dalam serbuan di Selangor dan Kuala Lumpur. FOTO Norzamira Che Noh.
HUSSEIN Omar menunjukkan dadah yang dirampas bernilai RM11 juta dalam serbuan di Selangor dan Kuala Lumpur. FOTO Norzamira Che Noh.
Norzamira Che Noh


Shah Alam: Sejumlah 298.987 kilogram (kg) dadah jenis methamphetamine dan 17.6 kg heroin yang keseluruhannya dianggar RM11.034 juta dirampas menerusi beberapa serbuan di Selangor dan Kuala Lumpur, Selasa lalu.

Ketua Polis Selangor Datuk Hussein Omar Khan berkata, seramai tujuh individu termasuk wanita berusia antara 27 hingga 52 tahun turut ditahan dalam operasi berkenaan.

Katanya, operasi itu dijalankan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman di Selangor dan Kuala Lumpur.

"Kes pertama merampas methamphetamine dan menahan dua lelaki tempatan ketika melakukan transaksi pemindahan dadah dari sebuah Toyota Estima ke Toyota Alphard.

"Kejadian di tempat letak kereta di sebuah pangsapuri di Damansara Perdana, Petaling Jaya pada 1.50 tengah hari.

"Dalam pemeriksaan itu, polis merampas sembilan guni mengandungi 279 bungkusan methamphetamine yang dianggarkan seberat 294.49 kg dan susulan itu seorang lagi lelaki dipercayai ahli sindiket ditahan di Shah Alam," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor, hari ini.

Katanya, semua suspek berusia 35 hingga 52 tahun mempunyai rekod lampau bersabit jenayah dan dadah, malah ujian air kencing dua daripada mereka positif dadah.

Hussein berkata, kes kedua membabitkan tangkapan lelaki di kawasan tempat letak kereta di Pelabuhan Klang, yang mana polis menjumpai 28 ketulan mampan heroin seberat 12.6kg dan sebungkus methamphetamine (0.497kg) dalam Toyota Wish yang digunakan suspek.

Menurutnya, susulan serbuan itu polis memeriksa sebuah lagi kereta diletakkan di flat di Ampang dan menemui 11 ketulan heroin seberat 4.89 kilogram di dalam but.

Katanya, tiga individu berusia 27 hingga 49 tahun termasuk wanita ditahan di Klang; Tanjung Malim, Perak dan Cyberjaya dipercayai terbabit dalam sindiket ini.

"Jumlah dadah yang dirampas dalam kedua-dua kes ini adalah 298.987 kg methamphemine yang bernilai RM10.8 juta dan 17.6kg heroin bernilai RM234,366.

"Kita percaya bekalan dadah ini adalah untuk pasaran Lembah Klang," katanya yang memberitahu semua suspek direman antara tiga ke tujuh hari dan kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 31 Mac 2023 @ 1:49 PM