ANGGOTA Bomba dan Penyelamat membuat pemeriksaan dilokasi empat beradik maut dalam kebakaran selepas terperangkap dalam bilik air. FOTO Ahmad Ismail
ANGGOTA Bomba dan Penyelamat membuat pemeriksaan dilokasi empat beradik maut dalam kebakaran selepas terperangkap dalam bilik air. FOTO Ahmad Ismail
Izz Laily Hussein


Johor Bahru: Pasukan forensik Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) masih menjalankan siasatan lanjut bagi mengenal pasti punca sebenar kebakaran sebuah rumah di Kampung Sabak Awor, Muar yang meragut nyawa empat beradik, malam kelmarin.

Timbalan Pengarah JBPM Negeri Johor, Penolong Pesuruhjaya Bomba, Mohd Rizal Buang berkata, pasukan forensik JBPM Johor dan Ibu Pejabat JBPM di Putrajaya sebelum membuat kesimpulan punca sebenar kebakaran itu.

Katanya, segala hipotesis sumber nyalaan adalah diambil kira dan sampel yang diambil akan dibawa ke makmal forensik Ibu Pejabat JBPM Johor untuk dianalisis.

"Kita masih lagi menjalankan siasatan untuk mengenal pasti punca sebenar kebakaran itu dan seramai 11 pegawai dan anggota dari Ibu Pejabat JBPM Johor dan dari Putrajaya terbabit dalam siasatan kes ini.

"Segala hipotesis sumber nyalaan diambil kira. Sampel diambil dibawa ke makmal forensik Ibu Pejabat JBPM Johor untuk analisis lanjut," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Sementara itu, Mohd Rizal menasihatkan orang ramai supaya tidak membuat sebarang spekulasi berhubung kejadian kebakaran itu.

"Kita ambil serius siasatan ini kerana membabitkan kehilangan nyawa seramai empat orang.

"Oleh sebab itu, pasukan forensik daripada Ibu Pejabat JBPM di Putrajaya turut sama membantu JBPM Johor untuk kenal pasti punca kebakaran. Orang awam diminta jangan buat apa-apa spekulasi," katanya.

Kelmarin, dalam kejadian kira-kira jam 7.49 malam, empat beradik berusia antara lapan hingga tiga tahun iaitu dua lelaki dan dua perempuan dilaporkan maut dalam kebakaran rumah di Jalan Ismail, Kampung Sabak Awor, Muar.

Mangsa adalah Puteri Aisyah Tenko To, 8; Mohd Hakim, 6; Mustakim, 4, dan Fatihah Aisyah, 3, yang ditemui tidak sedarkan diri dalam bilik air kediaman itu ketika dipercayai cuba menyelamatkan diri dalam kebakaran terbabit.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 31 Mac 2023 @ 12:54 PM