NORFIZAH dan keluarga di hadapan rumah barunya di Kampung Titian Akar, Kota. FOTO Ahmad Hasbi.
NORFIZAH dan keluarga di hadapan rumah barunya di Kampung Titian Akar, Kota. FOTO Ahmad Hasbi.
Ahmad Hasbi


Seremban: Aidilfitri kali ini paling bermakna buat satu keluarga di Kampung Titian Akar, Kota, di sini, apabila mendapat rumah baru selepas lebih 15 tahun mendiami rumah pusaka yang daif.

Norfizah Nemat, 45, berkata dia sangat bersyukur apabila terpilih menerima sebuah rumah menerusi Projek Baiti Jannati oleh Tenaga Nasional Berhad (TNB).

Guru Kafa itu berkata, dek kekangan kewangan, sebelum ini dia tujuh beranak tinggal di rumah ibunya yang usang sejak berkahwin dengan suami kedua kira-kira 17 tahun lalu.

"Suami, Muhammad Alif Manickam Abdullah, 50, hanya bekerja kampung dengan pendapatan tidak menentu malah menanggung lima anak yang berusia dari lima hingga 21 tahun.

"Rumah ibu dalam keadaan uzur dengan atapnya banyak tempat yang bocor. Setiap kali hujan kami terpaksa menadah menggunakan pelbagai bekas seperti tong besar, periuk dan baldi.

"Malah, dinding dan lantai juga banyak sudah rosak kerana usianya yang sudah mencecah lebih 70 tahun. Bilik air pula hanya ditutup menggunakan kanvas," katanya ketika ditemui di rumah barunya, petang semalam.

Terdahulu, Norfizah menerima kunci rumah pada Majlis Penyerahan Projek Baiti Jannati Peringkat Negeri Sembilan yang disempurnakan Penyelaras Dun Kota, Muhammad Alif Ibrahim.

Norfizah berkata, Aidilfitri kali ini bakal disambut dengan lebih ceria dan tidak sabar menyambut kehadiran adik-beradiknya untuk berkumpul di rumah baru itu.

"Kebiasaannya apabila raya kami adik-beradik berkumpul di rumah ibu. Namun, raya kali ini kami dapat berkumpul bersama-sama di rumah ini dan pastinya ia sangat bermakna buat kami sekeluarga.

"Saya sangat bersyukur dan berterima kasih kepada TNB, ketua kampung dan pihak Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kota yang banyak membantu kami sehingga layak memohon rumah ini," katanya.

Sementara itu, Pengurus Perhubungan Pemegang Taruh TNB Negeri Sembilan, Zahrul Effendy Shahid berkata, projek berkenaan menelan belanja RM65,000 dengan saiz rumah seluas 58.2 meter persegi.

"Ia dilengkapi tiga bilik, ruang tamu dan tandas yang lebih sempurna. Diharapkan ia akan memberi keselesaan kepada keluarga ini dan dapat menjalani kehidupan yang lebih berkualiti," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 29 Mac 2023 @ 11:05 AM