GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Zuliaty Zulkiffli

Alor Setar: Tiga lelaki ditahan polis kerana disyaki menggunakan senjata api dan busur buatan sendiri untuk memburu hidupan liar di kawasan Padang Terap sebagai sumber pendapatan mereka.

Timbalan Ketua Polis Kedah Datuk Mohd Roze Shaari berkata, ketiga-tiga suspek berusia 20 hingga 32 tahun itu ditahan di dua rumah berasingan di daerah itu oleh sepasukan pegawai dan anggota dari Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kedah pada 21 Mac lalu.

Beliau berkata, serbuan dan tangkapan dilakukan berdasarkan hasil maklumat dan risikan orang awam.

"Susulan daripada itu, polis merampas dua laras senapang patah, peluru hidup dan busur buatan sendiri yang dipercayai digunakan untuk memburu hidupan liar di kawasan berkenaan.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 8 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971 dan Seksyen 8 Akta Senjata 1960 yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 14 tahun dan sebatan jika disabitkan kesalahan.

"Setakat ini, dua daripada tiga suspek yang ditahan sudah dituduh di Mahkamah Sesyen Alor Setar pada 27 Mac lalu," katanya dalam satu kenyataan media, hari ini.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 29 Mac 2023 @ 10:25 AM