Mohamed Farid Noh


Johor Bahru: Kerajaan tidak merancang menaikkan kadar bayaran permit masuk kenderaan (VEP) kenderaan berdaftar Singapura yang memasuki negara ini melalui pintu masuk antarabangsa di Johor.

Menteri Pengangkutan Anthony Loke Siew Fook berkata, langkah menaikkan kadar VEP hanya akan menyebabkan tindak balas kerajaan Singapura yang akan turut menaikkan kadar bayaran kepada kenderaan Malaysia yang memasuki republik itu.

Oleh itu katanya, kadar VEP akan terus dikekalkan RM20 bagi setiap kenderaan berdaftar di Singapura ketika melalui Tambak Johor di sini, serta Lebuhraya Hubungan Kedua (SecondLink), Gelang Patah.

"Setakat ini, kerajaan tiada rancangan untuk menaikkan kadar VEP. Jika kita berbuat demikian, pasti ada tindak balas (kenaikan harga) dari Singapura juga.

"Sekiranya kita tingkatkan kadar bayaran itu (VEP) untuk kenderaan Singapura, maka kerajaan Singapura pun akan mengenakan cukai jalan yang lebih tinggi untuk kenderaan Malaysia yang masuk ke Singapura.

"Pada masa sama, kita juga hendak menggalakkan kemasukan pelancong dari Singapura ke negeri ini supaya dapat menyumbang kepada ekonomi di Johor. Walaupun ada cadangan daripada wakil rakyat (naikkan VEP), tetapi setakat ini, kerajaan tidak ada perancangan untuk meningkatkan kadar itu," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas melancarkan pas tanpa had MyBAS dan bas awam elektrik pertama Johor, di Terminal Pengangkutan Awam Larkin di sini hari ini.

Anthony Loke
Anthony Loke

Hadir sama Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan dan Infrastruktur negeri, Mohamad Fazli Mohamad Salleh.

Isnin lalu, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kota Iskandar Datuk Pandak Ahmad mencadangkan kerajaan menaikkan kadar VEP khusus bagi kenderaan Singapura yang mahu memasuki negara ini melalui pintu sempadan antarabangsa di negeri ini.

Beliau dilaporkan berkata, kenaikan bayaran VEP itu dilihat wajar memandangnya kadar ketika ini amat rendah jika dibandingkan dengan tukaran mata wang negara jiran berkenaan.

"Saya cadangan kadar bayaran VEP dinaikkan kepada RM40 atau RM50 bagi setiap kenderaan, jika tidak dapat dibuat pada hari biasa, mungkin boleh dilaksana pada hujung minggu iaitu Jumaat, Sabtu dan Ahad," katanya dalam sesi perbahasan menjunjung kasih titah Sultan Johor pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor.

Daripada kutipan bayaran VEP sebanyak RM20 yang dikenakan terhadap kenderaan asing itu, RM15 akan dikutip oleh Kerajaan Persekutuan manakala bakinya RM5 disumbangkan kepada kerajaan negeri.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 28 Mac 2023 @ 3:27 PM