Jeddah: Kempen berterusan Malaysia membanteras rasuah dan mempromosikan ketelusan membuka laluan lebih jelas kepada negara dalam menarik pelaburan asing.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim yang menemui komuniti perniagaan global ketika lawatan ke luar negaranya sejak memegang jawatan itu, November berkata, kumpulan itu tertarik dengan kestabilan yang wujud di Malaysia ketika ini.
Anwar berkata demikian pada Jumaat di Arab Saudi semasa mengakhiri lawatan rasminya selama tiga harinya di negara itu.
Beliau berkata, mereka gembira dengan perkembangan di Malaysia dan sedang menghitung hari untuk datang melihat peluang pelaburan, pada Mei depan.
Bank Pembangunan Islam (ISDB), Dewan Perniagaan dan Perindustrian Jeddah serta pemimpin komuniti perniagaan Saudi yang mewakili Dewan Perniagaan Kebangsaan antara yang komited untuk menjalankan perniagaan di Malaysia.
"Mereka gembira dengan perkembangan politik di Malaysia... inilah yang mereka tunggu-tunggu.
"Mereka mengenali Malaysia dengan baik, kerana sudah berada di negara kita sejak tahun 80-an dan 90-an ... mereka menunggu kestabilan, hala tuju jelas dan komitmen untuk kemudahan menjalankan perniagaan, mengekang rasuah serta tadbir urus baik.
"Ini akan memberi manfaat besar bukan sahaja kepada rakyat tetapi juga komuniti pelabur," katanya yang menambah bidang diminati pelabur negara itu termasuk keselamatan makanan, minyak dan gas, serta pelancongan dan industri perkhidmatan.
Anwar berkata, kestabilan politik diperkukuh dengan komitmen tiga tonggak utama Kerajaan Perpaduan Pakatan Harapan (PH), Barisan Nasional (BN) dan Gabungan Parti Sarawak(GPS).
"Hakikat jelas bahawa kerajaan sememangnya stabil... dan tiada ketidakpastian, adakah parti-parti mengingkari komitmen mereka untuk memastikan kestabilan ini?" katanya.
Tambahnya, gabungan itu akan terus memberikan mandat kuat kepada kerajaan memerintah, malah sedar bahawa pembangkang akan terus memburukkan kerajaan.
Perdana menteri memberitahu, walaupun Kerajaan Perpaduan mengalu-alukan kritikan yang membina, memainkan isu yang boleh menimbulkan kebimbangan kalangan rakyat dan orang luar akan merugikan.
"Percubaan itu tidak terhenti oleh mereka yang mendambakan kuasa tetapi tanpa mandat dan sokongan," katanya.
Anwar diiringi isteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, Menteri Luar Datuk Seri Zambry Abdul Kadir dan Menteri Komunikasi dan Digital Fahmi Fadzil dalam lawatan itu.
Delegasi Malaysia pada hari pertama menunaikan umrah dan terbabit Pertubuhan Kerjasama Islam dan Liga Muslim Dunia di Makkah yang membincangkan isu melanda dunia Islam serta inisiatif untuk membina kerjasama.