ABD Razak (dua kiri) menyerahkan sumbangan keperluan dapur kepada penduduk Kampung Kangkar Tebrau. FOTO Izz Laily Hussein
ABD Razak (dua kiri) menyerahkan sumbangan keperluan dapur kepada penduduk Kampung Kangkar Tebrau. FOTO Izz Laily Hussein
Izz Laily Hussein

Johor Bahru : Kira-kira 200 keluarga yang juga penduduk Kampung Kangkar Tebrau di sini, bersyukur menerima sumbangan daripada seorang dermawan, selepas terjejas akibat banjir awal bulan ini.

Menurut Pengerusi Masjid Kampung Kangkar Tebrau, Abd Razak Tarmidi, 62, sumbangan keperluan dapur yang dihulurkan dermawan yang juga anak jati kampung berkenaan itu bukan sahaja kerana banjir, tetapi sebagai persiapan dan kegunaan untuk Ramadan.

"Bantuan ini disampaikan oleh seorang individu kepada masyarakat Kangkar Tebrau yang ditimpa bencana banjir dan sempena Ramadan.

"Bantuan ini berupa barangan dapur seperti beras, minyak, gula, tepung, susu, sardin yang semuanya berjumlah RM130 untuk setiap keluarga," katanya ditemui.

Abd Razak berkata, ia adalah siri pertama bantuan dan ia akan diteruskan ketika Ramadan dan untuk persiapan Aidilfitri.

"Biasanya, dalam setahun, dua kali bantuan disalurkan. Tetapi, jika ada kesulitan, kita juga akan beri bantuan persekolahan.

"Kita juga ada menyediakan tabung yang mana wangnya diperoleh daripada sewa pasar malam dan gerai-gerai dalam kampung untuk membantu penduduk kampung ini," katanya.

Sementara itu, ibu tunggal, Zaiton Nadim, 61, berterima kasih kepada dermawan yang juga jiran lamanya itu kerana tidak pernah putus menghulurkan sumbangan.

Zaiton yang mempunyai seorang anak lelaki orang kurang upaya (OKU) Sindrom Down berusia 28 tahun berkata, bantuan itu sedikit sebanyak meringankan bebannya.

"Saya juga menghidap kencing manis, walaupun tidak teruk, tetapi memang susah untuk bekerja. Bantuan dihulurkan ini sangat-sangat membantu," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 23 Mac 2023 @ 12:48 PM