SULTAN Ibrahim Sultan Iskandar. FOTO Facebook Sultan Ibrahim Sultan Iskandar
SULTAN Ibrahim Sultan Iskandar. FOTO Facebook Sultan Ibrahim Sultan Iskandar
Izz Laily Hussein

Johor Bahru: "Jangan ada pihak yang mencuba sebarang usaha untuk memecahbelahkan jambatan perpaduan Bangsa Johor," tegas Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar.

Baginda bertitah, Bangsa Johor perlu menolak sebarang bentuk ekstremisme yang boleh menjejaskan keharmonian antara kaum dan agama.

"Sejak dahulu lagi, saya sentiasa menitikberatkan dan mengingatkan semua bahawa persefahaman dan saling hormat-menghormati antara kaum menjadi tunjang perpaduan Bangsa Johor.

"Konsep Bangsa Johor adalah menyatukan semua rakyat Johor terdiri daripada pelbagai kaum dan kekal diamalkan sekian lama di negeri ini.

"Saya memberi amaran jangan ada cubaan daripada mana-mana pihak yang mahu memecahbelahkan jambatan perpaduan Bangsa Johor ini," titah baginda.

Sultan Ibrahim bertitah demikian sempena sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan Rasmi Baginda yang dimuat naik di laman Facebook Sultan Ibrahim Sultan Iskandar, hari ini.

Baginda bertitah, Bangsa Johor yang kekal harmoni dan bersatu-padu bukan sahaja menjadikan masyarakatnya lebih baik, malah membawa kemakmuran kepada negeri ini.

"Jauhilah sifat hasad dengki, dendam dan buruk sangka kerana ia adalah satu penyakit merbahaya yang hanya mengundang keburukan kepada masyarakat dan negara," titah baginda.

Pada masa sama, Sultan Ibrahim turut menzahirkan penghargaan kepada Kerajaan Persekutuan yang diterajui Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, atas penyaluran peruntukan besar kepada Johor dalam Belanjawan 2023.

"Alhamdulillah atas peruntukan yang diberikan dan moga hubungan baik Kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri terus diperkukuhkan demi kemakmuran negeri serta rakyatnya," titah baginda.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 23 Mac 2023 @ 12:31 PM