Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof
Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof
Oleh Ruwaida Md Zain


Shah Alam: Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) menyeru umat Islam yang berada dalam kesusahan terutamanya memerlukan bantuan makanan tampil kepada Lembaga Zakat Selangor (LZS).

Pengerusi MAIS Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof berkata, dalam keterujaan menyambut Ramadan, pastinya ada dalam kalangan rakyat di Selangor kesusahan dan memerlukan bantuan, tambahan pula dengan keadaan ekonomi tidak menentu.

"Saya menyeru mereka tampil terus memohon bantuan terutamanya melalui LZS sama ada terus ke Cawangan LZS yang berhampiran atau melalui penolong amil kariah masing-masing.

"Ini kerana sudah pastinya tidak semua mereka yang memerlukan bantuan dapat ditemui oleh pihak LZS.

"Tampillah kepada kami, pastinya jika menepati kelayakan, umat Islam yang diuji dengan kesusahan ini akan dibantu sewajarnya terutamanya di saat umat Islam menyambut Ramadan ini," katanya ketika dihubungi.

Pada masa sama, Abdul Aziz berharap umat Islam khususnya di Selangor menyambut Ramadan dengan penuh keberkatan dan menghidupkan Ramadan ini dengan amalan mulia.

Beliau turut mengingatkan semua umat Islam supaya mengimarahkan masjid dengan sebaik mungkin.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 23 Mac 2023 @ 10:20 AM