Nurul Hidayah Bahaudin dan Dayang Pretty Abbyana Datu Asis


Kuala Lumpur: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Hidup (KPDN) akan berbincang dengan Kementerian Kerja Raya (KKR) bagi cadangan pelaksanaan sistem pembayaran terbuka di Lebuhraya Utara-Selatan, minggu depan.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Datuk Seri Salahuddin Ayub berkata, setakat ini, hanya beberapa konsesi lebuh raya yang terbabit dalam pelaksanaan itu yang dijadualkan bermula September ini.

"Setakat ini, ia tidak membabitkan tol di sepanjang Lebuhraya Utara-Selatan. Jadi, kita akan bincang dengan KKR supaya kalau boleh semua tol atau pintu masuk tol di sepanjang lebuh raya ini boleh menggunakan sistem terbuka.

"Itu yang kita harapkan bagi pelanggan yang tidak berpuas dengan perkhidmatan yang ada pada hari ini," katanya pada sidang media selepas melancarkan Jualan Rahmah Baju Raya Jakel di Wisma Jakel, di sini, hari ini.

Semalam, Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi memaklumkan beberapa lebuh raya akan melaksanakan sistem pembayaran terbuka selewat-lewatnya September ini bagi membolehkan pengguna membayar tol menggunakan kad debit dan kredit.

Lebuh raya berkenaan ialah Lebuhraya Sungai Besi, Lebuhraya Baru Pantai (NPE), Lebuhraya Bertingkat Ampang-Kuala Lumpur (DUKE), Lebuhraya Koridor Guthrie serta Jambatan Pulau Pinang.

Ahad lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika menjawab soalan seorang peserta dalam program dialog anak muda 'Temu Anwar' di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur memaklumkan kerajaan akan mempertimbang semula monopoli Touch 'n Go dalam pengangkutan dan jalan raya.

SALAHUDDIN bersama Fuziah (kiri) melihat potongan harga Jualan Rahmah pada Majlis Pelancaran Program Jualan Rahmah bersama Jakel di Wisma Jakel hari ini. FOTO Bernama.
SALAHUDDIN bersama Fuziah (kiri) melihat potongan harga Jualan Rahmah pada Majlis Pelancaran Program Jualan Rahmah bersama Jakel di Wisma Jakel hari ini. FOTO Bernama.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 22 Mac 2023 @ 7:05 PM