MOHD Na'im Mokhtar (tiga,kanan) menyerahkan replika cek bernilai RM15,000 kepada Presiden Pertubuhan Kebajikan Orang Kerdil Malaysia Jasmi Shafie (empat,kiri) pada Pelancaran Sambutan Ihya' Ramadan Peringkat Kebangsaan 2023 di Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin malam ini. FOTO BERNAMA
MOHD Na'im Mokhtar (tiga,kanan) menyerahkan replika cek bernilai RM15,000 kepada Presiden Pertubuhan Kebajikan Orang Kerdil Malaysia Jasmi Shafie (empat,kiri) pada Pelancaran Sambutan Ihya' Ramadan Peringkat Kebangsaan 2023 di Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin malam ini. FOTO BERNAMA
BERNAMA

Putrajaya: Semua agensi agama Islam di seluruh negara perlu lebih kreatif dalam menganjurkan aktiviti ibadah, bagi menarik lebih penyertaan umat Islam untuk mengimarahkan bulan Ramadan, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr Mohd Na'im Mokhtar.

Bercakap kepada pemberita selepas melancarkan program Ihya' Ramadan Peringkat Kebangsaan 2023/1444H di sini malam ini, beliau berkata, usaha seumpama itu bukan sahaja dapat menyuntik semangat kepada umat Islam untuk menggandakan amalan, malah mengeratkan ukhuwah masyarakat Malaysia Madani.

"Kita harap agensi-agensi ini fikirkan penganjuran program yang lebih kreatif.

"Curahkanlah segala tenaga, masa dan wang ringgit dengan sebaik-baiknya, mudah-mudahan kita beroleh ganjaran yang dijanjikan Allah SWT di akhirat kelak," katanya.

Mohd Na'im berkata pengisian program dan aktiviti sepanjang bulan Ramadan juga dapat melahirkan insan yang seimbang dari segi rohani, jasmani, emosi, intelek dan sosial.

Beliau berharap segala program yang telah dirancang akan menyuntik semangat dalam kalangan umat Islam untuk menggandakan amalan sepanjang Ramadan.

"Bulan Ramadan ini bukan sahaja menahan diri daripada makan dan minum, tetapi umat Islam perlu lihat Ramadan sebagai suatu bulan untuk mereka manfaatkan untuk gandakan amalan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 22 Mac 2023 @ 12:18 AM