Farah Solhi


Sepang: Dua lelaki yang menyerang seorang pekerja restoran Pelita Nasi Kandar di Cyberjaya, didakwa di Mahkamah Majistret di sini, hari ini kerana menyerang, mengeluarkan perkataan kesat dan merosakkan peralatan restoran.

Bagaimanapun kedua-dua tertuduh, M Elanggovan, 51, dan M Vengateswaran, 51, masing-masing mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan terhadap mereka oleh jurubahasa di hadapan Majistret Ayuni Izzaty Sulaiman

Elangovan yang bekerja sebagai pemandu van didakwa dengan empat pertuduhan, manakala pemandu teksi, Vengateswaran berhadapan tiga pertuduhan.

Mengikut pertuduhan, kedua-dua tertuduh didakwa mengeluarkan perkataan kesat dengan maksud mengganggu kesantunan terhadap Md Jahirul Hoque dan Sarishkumar Jayakumar di sebuah restoran di Glomac, Cyberjaya dekat sini kira-kira 7.30 malam, pada 16 Mac lalu.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga lima tahun atau denda atau kedua-duanya.

Bagi pertuduhan kedua, mereka didakwa dengan sengaja mendatangkan kecederaan kepada Md Jahirul Hoque di sebuah restoran pada masa, tarikh dan lokasi yang sama.Kedua-dua tertuduh didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.

Mengikut pertuduhan ketiga, mereka didakwa melakukan khianat iaitu membaling pinggan milik Pelita Samudra Pertama (M) Sdn Bhd pada masa, tarikh dan lokasi yang sama.

Pertuduhan terhadap kedua-dua tertuduh dikemukakan mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang setahun dan tidak melebihi lima tahun atau denda atau kedua-duanya.

Di mahkamah sama, Elanggovan turut didakwa dengan sengaja mencederakan Sarishkumar Jayakumar dengan menggunakan sebatang penyepit besi, justeru melakukan kesalahan mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara 10 tahun atau denda atau sebat dengan mana-mana dua daripada hukuman tersebut.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nur Sabrina Zubairi manakala peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan, Lingeswaran Andiappan yang mewakili kedua-dua tertuduh memohon mahkamah menetapkan jumlah jaminan paling minimum.

Ayuni Izzaty kemudian membenarkan Elanggovan diikat jamin RM11,600 bagi keempat-empat pertuduhan sementara Vengateswaran yang berdepan tiga pertuduhan dibenar ikat jamin RM8,600 dengan seorang penjamin warga tempatan bagi setiap tertuduh dan menetapkan 10 Mei depan untuk serahan dokumen.

Selain itu, syarat tambah ditetapkan supaya tertuduh tidak mengganggu atau menghampiri mangsa dan saksi kejadian serta perlu melapor diri di balai polis.

Jumaat lalu, tiga lelaki ditahan selepas dikesan memukul dua pekerja restoran nasi kandar di Cyberjaya yang video rakamannya tular di laman sosial.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 21 Mac 2023 @ 9:32 PM
ANGGOTA polis mengiringi dua lelaki yang berdepan tuduhan memukul pekerja restoran di Mahkamah Majistret Sepang. FOTO Hairul Anuar Rahim.
ANGGOTA polis mengiringi dua lelaki yang berdepan tuduhan memukul pekerja restoran di Mahkamah Majistret Sepang. FOTO Hairul Anuar Rahim.