Hafidzul Hilmi Mohd Noor


Bangi: Konvensyen Perpaduan badan bukan kerajaan (NGO) Islam mengemukakan 10 resolusi dalam mendepani pelbagai isu berkaitan ekonomi, sosial, perpaduan, pendidikan serta isu membabitkan golongan muda.

Resolusi berkenaan dibentangkan Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Dakwah Islam Malaysia (Yadim), Zamri Zainal Abidin selepas dipersetujui kita-kira 400 wakil NGO Islam yang menyertai konvensyen berkenaan.

Zamri ketika membentangkan resolusi berkenaan berkata, resolusi pertama adalah mangakui Malaysia Madani adalah satu gagasan yang membawa nilai khusus yang berupaya menyelesaikan permasalahan ummah, memenuhi keperluan semasa, menyentuh pencorakan masa hadapan dan memenuhi potensi rakyat serta negara.

"Resolusi kedua yang dipersetujui ialah suara dan hasrat khalayak NGO serta agensi kerajaan harus sinergi bagi memastikan usaha membangun negara Madani ini seiring dengan kegiatan dakwah agar mesej rahmah diterjemahkan kepada masyarakat dengan lebih strategik.

"Bagi resolusi ketiga, menggerakkan inisiatif berterusan dengan membangun satu pelan tindakan yang konstruktif untuk dilaksanakan oleh NGO Islam bersama-sama agensi kerajaan di seluruh negara dalam usaha menyampaikan mesej keharmonian dan kebajikan ke arah pembinaan sebuah negara yang mampan, makmur, progresif dan harmoni.

"Sudah tiba masanya, NGO Islam diberi pensijilan oleh kerajaan melalui Yadim sebagai perakuan integriti dalam aktiviti dan khidmat sosial yang mereka berikan kepada masyarakat,"katanya.

Pembentangan resolusi itu dibaca di hadapan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Zahid Hamidi dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr Mohd, Na'im Mokhtar pada majlis penutup konvensyen berkenaan, hari ini.

Zamri berkata,, konvensyen turut bersetuju mengemukakan resolusi keempat iaitu memperkasa Majlis Amal Islami Malaysia (MAIM) Yadim secara proaktif sebagai platform untuk NGO Islam mengemukakan pandangan dan mendapat maklum balas langsung daripada agensi-agensi kerajaan terkait isu-isu yang menyentuh kepentingan ummah dan negara dengan menjadikan Konvensyen Perpaduan NGO Islam sebagai acara berkala.

"Resolusi kelima, Yadim sebagai satu entiti yang dihormati dan berpengalaman perlu menjadi penyelaras bagi penyaluran dana daripada kerajaan kepada khalayak NGO di seluruh negara.

"Keenam ialah menangani masalah sosial negara melalui pendekatan ad-Din berasaskan akidah Ahlus Sunnah Wal Jamaah mutawatir secara komprehensif dengan mengutamakan kebajikan dan memperkasakan NGO yang aktif dalam membantu kerajaan semasa dengan menjadi ejen kepada suara rakyat dalam menggerakkan agenda perpaduan.

"Bagi resolusi ketujuh, pendidikan dan institusi kekeluargaan yang mantap hendaklah menjadi at-Tamkin (asas pengukuhan) perpaduan dan bergerak secara proaktif serta responsif terhadap isu-isu pendidikan dan masalah sosial bagi memastikan generasi muda terdidik dengan akidah, syariah, akhlak Islamiah, adab, kepimpinan dan keutuhan jati diri dengan membina modul dan silibus yang berkesan,"katanya.

Menurutnya, resolusi kelapan ialah merakyatkan kemahiran, kepimpinan dan bakat anak muda secara inklusif menerusi program antara agensi kerajaan dan NGO Islam demi melahirkan anak-anak muda yang berdedikasi, berkaliber dan berketerampilan.

"Resolusi kesembilan adalah merangka pelan tindakan strategik, tuntas dan efektif dalam meningkatkan kesedaran mengenai kepentingan agenda ekonomi bagi melahirkan generasi usahawan serta memperkasa institusi-institusi yang berperanan dalam memperjuang pembangunan ekonomi umat Islam.

"Akhir sekali membangunkan kompleks lengkap dengan fasiliti seperti pejabat, dewan seminar, dewan serbaguna dan bilik latihan; milik bersama gabungan NGO Islam dengan bantuan daripada dana kerajaan bagi membolehkan kerja-kerja khidmat sosial dan kesukarelawanan dapat dilaksanakan dengan lebih terancang, teratur, dan tersusun demi manfaat masyarakat,"katanya.

Ahmad Zahid bersama Zamri Zainal Abidin (kanan) dan Dr Mohd Nai'im (kiri) ketika sidang media pada majlis penutup Konvensyen Perpaduan NGO-NGO Islam 2023, Hotel Tenera, Bangi. FOTO ASWADI ALIAS
Ahmad Zahid bersama Zamri Zainal Abidin (kanan) dan Dr Mohd Nai'im (kiri) ketika sidang media pada majlis penutup Konvensyen Perpaduan NGO-NGO Islam 2023, Hotel Tenera, Bangi. FOTO ASWADI ALIAS

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 21 Mac 2023 @ 9:11 PM