GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Nurul Hidayah Bahaudin dan Dayang Pretty Abbyana Datu Asis


Kajang: Jabatan Penjara berhasrat untuk mencapai dua per tiga jumlah banduan menjalani pemulihan dalam komuniti lebih awal dari sasaran pada 2030 bagi melindungi masyarakat daripada menjadi mangsa penjenayah berulang.

Ketua Pengarah Penjara Datuk Nordin Muhamad berkata, pihaknya akan meningkatkan persekitaran di situ dengan kakitangannya berfikir lebih kreatif untuk menjadikan pengalaman banduan di penjara lebih ke arah pemulihan.

"Kita perlu ingat banduan datang ke penjara dengan minda jenayah. Sudah tiba masanya untuk kita campur tangan sama ada untuk membawa kembali atau membiarkan banduan berada dengan pemikiran dan kepercayaan mereka sebagai penjenayah.

"Penjara kini berubah berbentuk pemulihan dan pemasyarakatan serta terbuka kepada masyarakat untuk bersama-sama menjayakan program pemulihan di dalam dan luar tembok penjara," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Sambutan Hari Penjara ke-233 yang bertemakan Reformasi ke Arah Pusat Pembangunan Peradaban Budaya Kemanusiaan di Maktab Penjara Kajang, di sini, hari ini.

Sambutan itu dirasmikan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail dan turut dihadiri Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri (KDN) Datuk Rubi Ubi.

Nordin berkata, terdapat kerjasama dijalankan pihaknya bersama Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) termasuk tawaran kerja kepada penghuni yang membuktikan komitmen daripada pelbagai pihak untuk membangun serta membina semula kehidupan banduan.

"Kita membenarkan banduan atau dipanggil sebagai Orang Diparol (ODP), Orang Diselia (ODS) dan Orang Bebas Berlesen (OBB) mendapatkan peluang pekerjaan di luar bagi meningkatkan taraf ekonomi kehidupan penghuni dan memberi peluang kepada mereka untuk berbakti kepada masyarakat dan negara.

"Ia dilakukan melalui penawaran pekerjaan oleh syarikat yang bekerjasama dengan Jabatan Penjara dalam pelbagai sektor seperti perkilangan, pembuatan, pembinaan, perladangan, pertanian dan perkhidmatan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 21 Mac 2023 @ 8:04 PM