SIN Poo Kiong (kiri) dan Leong Kar Yan saksi kes bunuh seorang lelaki di hadapan Medan Selera Cina Pekan Lukut pada 1 Mac lalu. FOTO Ihsan PDRM
SIN Poo Kiong (kiri) dan Leong Kar Yan saksi kes bunuh seorang lelaki di hadapan Medan Selera Cina Pekan Lukut pada 1 Mac lalu. FOTO Ihsan PDRM
Mohd Khidir Zakaria

Port Dickson: Polis sedang mengesan dua saksi utama yang dipercayai dapat membantu menyelesaikan siasatan kes bunuh seorang lelaki di hadapan Medan Selera Cina Pekan Lukut, dekat sini, 1 Mac lalu.

Ketua Polis Daerah Port Dickson Superintendan Aidi Sham Mohamed berkata, dua saksi utama itu ialah Sin Poo Kiong, 40, beralamat di Jalan Permas 8/21, Bandar Baru Permas Jaya, Masai dan Leong Kar Yan, 34, dari Jalan Anggerik 25, Taman Johor Jaya, Johor Bahru, Johor.

"Kedua-duanya dipercayai dapat membantu siasatan kejadian bunuh di hadapan medan selera itu.

"Pada hari kejadian, polis menerima maklumat mengenai kejadian seorang lelaki berbangsa Cina yang ditikam dengan menggunakan objek tajam di situ," katanya ketika ditemui pada Sambutan Hari Polis Ke-216, di sini, hari ini.

Menurutnya, motif kejadian masih dalam siasatan dan polis giat mengesan suspek untuk siasatan lanjut.

"Siasatan kes diklasifikasikan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana kesalahan membunuh.

"Polis memohon kepada orang ramai yang mempunyai maklumat agar tampil ke Ibu Pejabat Polis Daerah Port Dickson untuk membantu siasatan atau hubungi Bilik Gerakan di talian 06-6472222," katanya.

Sementara itu, Aidi Sham berkata, pihaknya sentiasa menganggap rakyat, agensi kerajaan dan swasta sebagai mata serta telinga polis.

Beliau turut menyampaikan sijil penghargaan kepada beberapa agensi termasuk media yang sentiasa memberikan kerjasama kepada polis dalam menjaga keselamatan orang ramai.

Sebelum itu, beliau membacakan Perutusan Khas Ketua Polis Negara dan menyaksikan persembahan ular oleh anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia serta pertunjukan memadamkan kebakaran anggota Balai Bomba dan Penyelamat Port Dickson.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 20 Mac 2023 @ 1:07 PM