POLIS mengawal di luar pusat hiburan susulan pergaduhan menyebabkan seorang lelaki maut dipukul. - FOTO Ihsan Polis.
POLIS mengawal di luar pusat hiburan susulan pergaduhan menyebabkan seorang lelaki maut dipukul. - FOTO Ihsan Polis.
Amir Abd Hamid


Kuala Lumpur: Lelaki maut dalam pergaduhan membabitkan sekumpulan lelaki yang dipercayai mabuk di sebuah pusat hiburan di Kompleks Metro Pudu, di sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Wang Maju, Superintendan Ashari Abu Samah, berkata siasatan awal mendapati kejadian dipercayai berlaku antara jam 5 hingga 7 pagi.

"Polis menerima laporan mengenai kejadian seorang lelaki tempatan berusia 29 tahun dipukul di Kompleks Metro Pudu pada jam 12.30 tengah hari, semalam.

"Mangsa mengalami kecederaan di bahagian kepala dan dibawa ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) untuk rawatan dan disahkan meninggal dunia pada 4.40 petang, hari yang sama," katanya.

Ashari berkata, mangsa yang berniaga sendiri dipercayai terbabit adlam perselisihan faham dengan kumpulan suspek yang disyaki mabuk di dalam pusat hiburan berkenaan.

"Perselisihan berterusan di luar pusat hiburan. Namun punca sebenar masih dalam siasatan," katanya.

Susulan itu, beliau berkata, satu operasi khas dijalankan bermula jam 10.30 malam hingga jam 12.15 tengah malam tadi oleh sepasukan anggota Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Wang Maju untuk mengesan suspek.

"Hasil operasi, kita menahan lapan lelaki warga tempatan berusia di antara 20 tahun hingga 37 tahun serta dua lelaki warga negara asing berusia di antara 28 tahun hingga 43 tahun di sekitar ibu kota.

"Kesemua 10 suspek itu ditahan bagi membantu siasatan kes kematian berkenaan.

Siasatan lanjut mendapati pergaduhan dipercayai berpunca daripada perselisihan faham yang berlaku di antara mangsa dan kumpulan suspek," katanya.

Menurutnya, permohonan reman ke atas semua suspek akan dipohon kepada pihak mahkamah esok dan siasatan dijalankan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan iaitu bunuh.

"Pihak polis memberi amaran keras supaya orang ramai supaya tidak membuat spekulasi dan menimbulkan provokasi berkait kejadian ini.

"Kita memohon kerjasama orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan kejadian ini untuk tampil membantu siasatan," katanya.

Maklumat boleh disalurkan kepada IPD Wangsa Maju di talian 03-92899222 atau Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-21159999 atau mana-mana balai polis berhampiran.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 19 Mac 2023 @ 9:24 PM