MASJIDILHARAM, MAKKAH. FOTO fail AP
MASJIDILHARAM, MAKKAH. FOTO fail AP
BERNAMA

Shah Alam: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini mengumumkan kerajaan akan menanggung kenaikan kos menunaikan ibadah haji sebanyak RM1,000 bagi setiap jemaah haji golongan B40 pada tahun ini.

Anwar berkata, perkara itu perubahan yang dilakukan Kerajaan Perpaduan berkaitan pemberian subsidi kepada umat Islam di negara ini untuk menunaikan rukun Islam kelima itu.

"Kita buat perubahan untuk golongan B40, walaupun tahun lalu semasa pentadbiran kerajaan sebelum ini untuk B40 (kos haji) naik RM1,000.

"Tahun ini sepatutnya naik RM1,000, saya kira-kira rasanya untuk B40 tak perlu.

"Jadi kenaikan RM1,000 itu akan ditanggung Kementerian Kewangan supaya orang (B40) boleh pergi (menunaikan ibadah) haji tanpa kenaikan (kos)," katanya dalam ucapan penggulungan dan penangguhan Kongres Nasional Khas PKR 2023 di sini hari ini.

Bagi golongan M40 pula, Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, kenaikan kos haji adalah sebanyak RM3,000 manakala golongan T20 perlu membayar kos haji sepenuhnya.

"Jadi ini cara kita melihat yang tidak dilakukan oleh kepimpinan sebelum ini kerana tahun sebelumnya masih naik (kos haji)," katanya.

Media sebelum ini melaporkan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr Mohd Na'im Mokhtar memaklumkan Tabung Haji menjangkakan kos bagi menunaikan haji tahun ini akan meningkat lebih RM2,000 kepada RM30,850 bagi seorang.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 18 Mac 2023 @ 8:41 PM