PENYAMPAIAN sijil Malaysia Book of Records (MBOR) disampaikan wakil rasmi MBOR, Mohamad Nazrul Hafizi Ahmad Fauzi (dua kanan) kepada Pengarah JPSM, Datuk Mohd Ridza Awang. FOTO ihsan JPSM
PENYAMPAIAN sijil Malaysia Book of Records (MBOR) disampaikan wakil rasmi MBOR, Mohamad Nazrul Hafizi Ahmad Fauzi (dua kanan) kepada Pengarah JPSM, Datuk Mohd Ridza Awang. FOTO ihsan JPSM
Mohd Haris Fadli Mohd Fadzil


Kuala Lumpur: Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia (JPSM) mencipta sejarah selepas berjaya mengumpul lebih 12,104 pendaki untuk mendaki bukit dan gunung di seluruh negara secara serentak, hari ini.

Pengarah Forest Eco-Park dan Hutan Taman Negeri JPSM, Mohd Yussainy Md Yusop berkata, acara itu turut mendapat pengiktirafan Malaysia Book of Records (MBOR) bagi kategori penyertaan terbesar dalam pendakian secara serentak.

"Lebih 12,104 pendaki tempatan dan antarabangsa mencipta rekod mendaki gunung dan bukit secara serentak pada 18 Mac 2023 di 213 lokasi pendakian.

"Program Forestry Hiking Day merupakan satu usaha JPSM mendekati komuniti rekreasi khususnya pendaki tempatan dan antarabangsa untuk turut meraikan Sambutan Hari Hutan Antarabangsa yang diadakan pada 21 Mac setiap tahun.

"Sambutan ini dibuat lebih awal kali ini bagi memberi ruang penglibatan masyarakat pada hujung minggu terakhir sebelum umat Islam menyambut Ramadan," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Mohd Yussainy berkata, 213 lokasi pendakian didaftarkan bersama Malim Gunung Perhutanan (MGP) simbolik sambutan Hari Hutan Antabangsa yang disambut setiap 21 Mac.

Katannya, selain warga tempatan acara itu turut disertai pendaki Nepal, Indonesia, Thailand, Singapura di mana upacara pelepasan disempurnakan Ketua Pengarah JPSM, Datuk Mohd Ridza Awang di Taman Eko Rimba, Taman Damansara, di sini, hari ini.

Hadir sama Timbalan Ketua Pengarah Perhutanan, Datuk Mohd Rahim Rani; Pengarah Perhutanan Negeri Selangor, Azhar Ahmad; dan Pengerusi Universal Fitness & Leisure Sdn Bhd, Datuk Malek Nor.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 18 Mac 2023 @ 4:45 PM