Nor Fazlina Abdul Rahim


Kota Bharu: Penelitian calon Barisan Nasional (BN) bagi berdepan Pilihan Raya Negeri (PRN) hanya akan dibuat selepas pemilihan Umno selesai Sabtu ini.

Presiden Umno Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, tokoh yang menang dalam sayap Puteri, Pemuda dan Wanita parti itu juga turut diteliti sebagai calon.

"Tiga perkara yang menjadi kriteria utama untuk menjadi calon iaitu keboleh menangan, disukai dan diterima semua.

"Itu semua akan diteliti selepas Sabtu ini," katanya pada sidang media selepas Majlis Pengenalan Calon-Calon Pemilihan Umno 2023-2026, di sini, hari ini.

Ketika ditanya sama ada barisan kepimpinan baharu nanti akan mengukuhkan lagi kekuatan Umno berdepan PRN, Ahmad Zahid berkata, sudah tentu itu menjadi harapannya.

"Saya mempunyai slogan Umno Bangkit 2.0 dan menggariskan lima hala tuju baharu parti dan didalamnya terdapat 21 langkah yang kita susun.

"Saya mahu memberikan kuasa kepada Timbalan Presiden, Naib Presiden serta Majlis Kerja Tertinggi (MKT) untuk menterjemahkan pelaksanaan 21 langkah itu.

"Jika langkah itu perlu ditambah, saya sedia terima cadangan dengan syarat mereka bersetuju dengan petunjuk prestasi utama (KPI) yang diletakkan itu, harus dicapai," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 15 Mac 2023 @ 1:41 PM