GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Zuhainy Zulkiffli


Bayan Lepas: Polis menahan lima lelaki kerana disyaki menjadi 'keldai akaun' sindiket urusan pinjaman wang tidak wujud membabitkan kerugian sehingga RM22,585.

Ibu Pejabat Polis Daerah Barat Daya dalam satu kenyataan malam ini, memaklumkan kesemua mereka berusia antara 23 hingga 51 tahun ditahan secara berasingan sekitar Selangor dan Negeri Sembilan membabitkan kes yang dilaporkan sejak tahun 2020 hingga 2023.

"Sindiket itu membabitkan urusan pinjaman wang tidak wujud, tawaran kerja sambilan yang menjanjikan keuntungan, jual beli duit syiling lama dan perkhidmatan cuci rumah menerusi dalam talian.

"Jumlah kerugian yang dialami mangsa ialah antara RM1,120 sehingga RM22,585 dan kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan," katanya di sini, hari ini.

Polis menasihati orang awam supaya berwaspada dan tidak mudah terpedaya dengan muslihat sindiket seperti penipuan jual beli di laman sosial, pinjaman tidak wujud, tawaran pekerjaan luar negara, Macau atau Love Scam yang dilakukan menerusi laman sosial.

Orang ramai boleh hubungi pusat panggilan setempat 'CCID Scam Response Center' di talian 03-26101599 atau layari laman Facebook Cyber crime Alert Royal Malaysia Polis dan CCID Penang bagi mendapatkan maklumat lanjut mengenai kes penipuan terkini.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 13 Mac 2023 @ 10:58 PM