Oleh Zuliaty Zulkiffli


Alor Setar: "Bomoh suruh saya cari hati burung mati bercinta, kain kafan wanita kena bunuh hari Selasa selain tanah kubur untuk mengubati kanser yang saya tanggung.

"Saya tak mampu cari cuma dapat cari tanah kubur saja itu pun dah cukup takut tapi saya cari juga semata-mata percayakan bomoh ketika itu," kata Che Intan Md Zain, 61.

Katanya, lebih malang kerana mempercayai bomoh dia berhabis wang sehingga lebih RM60,000 menyebabkan terpaksa menjual rumah.

Menurut Che Intan, akibat terlalu percayakan bomoh, kanser otak yang dihidapinya sejak 2011 itu merebak dan hampir meragut nyawanya sendiri.

Katanya, selepas menyedari dirinya diperdaya bomoh berkenaan, dia terus mendapatkan rawatan di Hospital Pulau Pinang (HPP) dan doktor meminta dia segera menjalani pembedahan.

"Doktor kata saya akan mati dan menjalani pembedahan dengan segera kerana tumor di otak sudah sebesar empat sentimeter menyebabkan saya berjalan tidak stabil dan mata saya tidak nampak.

"Alhamdulillah selepas saya menjalani pembedahan dan 33 kali rawatan radioterapi, saya bersyukur kerana diberi peluang meneruskan kehidupan hari ini," katanya di program Wacana 'Aku Ingin Hidup' Zon Utara anjuran Cancer Survivors Malaysia (CSM) di sini, semalam.

Che Intan menasihatkan pesakit kanser supaya jangan terpedaya dengan bomoh yang mendakwa boleh menyembuhkan penyakit itu sebaliknya terus mendapatkan rawatan di hospital.

Katanya, dia menyesal kerana kehilangan segalanya termasuk rumah yang dibeli dengan hasil titik peluh sendiri dan wang simpanannya lesap gara-gara bomoh.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 12 Mac 2023 @ 1:25 PM
 Pesakit kanser otak, Che Intan Md Zain ketika menceritakan kisah hidupnya di Program Wacana CSM 'Aku Ingin Hidup' ditipu bomoh sehingga menyebabkan kansernya merebak. FOTO ZULIATY ZULKIFFLI
Pesakit kanser otak, Che Intan Md Zain ketika menceritakan kisah hidupnya di Program Wacana CSM 'Aku Ingin Hidup' ditipu bomoh sehingga menyebabkan kansernya merebak. FOTO ZULIATY ZULKIFFLI