RODZIAH melawat reruai di Pameran BPEX Mega Harta Tanah Bumiputera Selangor. FOTO Ruwaida Md Zain
RODZIAH melawat reruai di Pameran BPEX Mega Harta Tanah Bumiputera Selangor. FOTO Ruwaida Md Zain
Ruwaida Md Zain


Shah Alam: Kerajaan negeri menafikan dakwaan kewujudan kroni atau 'kabel' dalam urusan pembelian rumah pertama Rumah Selangorku.

Pengerusi Jawatankuasa Tetap Perumahan negeri, Rodziah Ismail berkata, setakat ini semua proses permohonan bagi perumahan berkenaan wajib dilakukan secara dalam talian saja.

"Semua maklumat (bakal pembeli) perlu dimasukkan secara dalam talian saja menerusi sistem khas yang dipantau sepenuhnya oleh Lembaga Perumahan dan Hartanah Selangor (LPHS).

"Walaupun saya sendiri sebagai Exco Perumahan, saya juga tidak pernah kata ambil nama-nama ini untuk diluluskan... syaratnya semua mesti masuk ke sistem yang mana prosesnya diteliti sepenuhnya.

"Kroni bukan isu... tidak betul kalau ada (dakwaan itu). Rumah pertama tetap rumah pertama. Sistem ini bukan di peringkat negeri saja tetapi dapat dilayari di seluruh Malaysia," katanya ketika ditanya dakwaan segelintir pihak mengenai kesukaran mendapatkan rumah pertama bagi Rumah Selangorku kerana sudah diberikan kepada pihak tertentu oleh 'orang dalam'.

Rodziah berkata, faktor kekukuhan dan kekuatan pinjaman bakal pembeli dikenal pasti antara masalah mereka untuk meneruskan pembelian kediaman.

"Masalah yang besar bukan masalah kroni, (tetapi) masalah kekuatan pinjaman mereka. Ada yang layak memohon namun tidak dapat memenuhi syarat pinjaman.

"Sistem permohonan yang dipantau oleh LPHS ini turut ada audit dalaman yang akan melihat bagaimana mereka melepaskan (meluluskan pembelian) rumah ini," katanya.

Terdahulu beliau merasmikan Pameran BPEX Mega Harta Tanah Bumiputera Selangor di sini petang tadi.

Beliau berkata, pameran bertujuan meningkatkan pemilikan ekuiti Bumiputera dalam bidang hartanah selain menggalakkan kaum Bumiputera memiliki hartanah sendiri.

Sementara itu katanya, tujuh daripada lapan projek perumahan terbengkalai di Selangor sudah diselesaikan pihaknya setakat ini.

"Semua ini adalah projek rumah teres yang bermasalah sejak 1993 itu membabitkan daerah Hulu Selangor dan Gombak.

"Kini, tinggal satu lagi projek iaitu di Bukit Cherakah, Shah Alam yang akan cuba diselesaikan kelak," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 11 Mac 2023 @ 7:30 PM