AL-SULTAN Abdullah (kiri) bersama Sheikh Mohammed Zayed. FOTO Facebook Istana Negara
AL-SULTAN Abdullah (kiri) bersama Sheikh Mohammed Zayed. FOTO Facebook Istana Negara
BERNAMA

Kuala Lumpur: Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berangkat mengunjungi Presiden Emiriah Arab Bersatu (UAE) Sheikh Mohammed Zayed Al Nahyan di Qasr Al Bahr, Abu Dhabi pada Selasa.

Menurut Facebook Istana Negara hari ini, Seri Paduka diiringi Pemangku Raja Pahang Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah dan Tengku Arif Bendahara Tengku Muhammad Iskandar Ri'ayatuddin Shah.

Turut hadir wakil pemerintah di Wilayah Dhafra Sheikh Hamdan bin Zayed Al Nahyan, Panglima Angkatan Tentera Jeneral Tan Sri Affendi Buang, Timbalan Panglima Tentera Darat Leftenan Jeneral Datuk Seri Mohammad Ab Rahman dan Duta Besar Malaysia ke UAE Datuk Seri Ahmad Fadil Shamsuddin.

"Dalam pertemuan pada 5.30 petang waktu tempatan itu (9.30 malam waktu Malaysia), kedua-dua pemimpin telah menyentuh mengenai langkah dan usaha bagi memperkasakan lagi hubungan dua hala dalam pelbagai aspek.

"Seri Paduka Baginda turut menzahirkan penghargaan kepada kerajaan UAE atas kesudian menerima sumbangan sebanyak 42 tan barangan bantuan kemanusiaan daripada kerajaan Malaysia untuk disalurkan menerusi Persatuan Bulan Sabit Merah UAE kepada mangsa gempa bumi di Syria baru-baru ini," menurut kenyataan itu.

Pertemuan itu disusuli dengan majlis santapan malam di Qasr Al Shatie, Abu Dhabi.

Seri Paduka kini berada di UAE bagi lawatan khas selama tujuh hari hingga hari ini.

Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah turut berangkat mengiringi Al-Sultan Abdullah dalam lawatan itu.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 1 Mac 2023 @ 3:10 PM